Wednesday, December 9, 2015

'Hidup Tan Sri!' sambut kedatangan Muhyiddin

Malaysiakini 8/12/15

Kemunculan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Dunia Putra menjadikan suasana 'hangat' apabila orang ramai dan petugas media berpusu-pusu untuk melihatnya.

Bekas timbalan perdana menteri itu memasuki bangunan berkenaan melalui pintu masuk Hotel Seri Pacific sebelum menunju ke Dewan Tun Dr Ismail yang menjadi tempat Perhimpunan Pemuda Umno berlangsung.
Penyokongnya kemudian melaungkan kata-kata "Hidup Tan Sri!" berkali-kali.

Beberapa ketika sebelum itu Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba lebih awal.
Malaysiakini tidak dibenarkan memasuki dewan berkenaan, manakala skrin televisyen yang biasanya menyiarkan perkembangan persidangan melalui kamera litar tertutup tidak membuat sebarang liputan.
Biasanya Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno diberi kepercayaan merasmikan persidangan tahunan sayap Umno membabitkan pemuda, wanita dan puteri.
Bagaimanapun kelaziman itu berakhir hari ini apabila beliau tidak dibenarkan membuat ucapan perasmian sayap parti berkenaan.

Bekas menteri besar Johor itu juga dipercayai tidak diberi ruang membuat ucapan penggulungan di slot terakhir perhimpunan - satu lagi amalan tradisi yang ditukar kali ini.
Selepas menghabiskan masa kira-kira 30 minit, Muhyiddin kemudian beralih ke persidangan tahunan Puteri Umno dan dilaporkan ada hadirin melaungkan "Hidup Tan Sri!" di dalam dewan berkenaan.
Dalam perjalanan beliau dari Dewan Tun Dr Ismail ke Dewan Tun Hussein Onn, keadaan agak kelam-kabut sedikit sehingga ada antara petugas media terpijak kaki perwakilan yang duduk di lantai.
Salah seorang daripada mereka ialah Nurul Azwa, 25.

"Sakit juga kaki dipijak orang, tapi tak apalah. Saya sokong Tan Sri Muhyiddin," katanya yang mengaku datang dari Johor.

1 comment:

  1. boleh blah la Mahyudin ,dia lupe ke .dulu dia gantong 2 orang pengarah peperiksaan serta merta (tanpa siasat dahulu) ketika peperiksaan PMR bocor..bukan ke itu kes peganiayaan..terhadap kedua pegawai tu//

    ReplyDelete