05/12/15
Selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Harian PAS Pusat dan
menyatakan untuk 'meletak senjata' buat seketika Datuk Husam Musa tetap
garang dalam ceramahnya malam tadi.
Mendakwa mahu "membayar
hutang" yang belum sempat dilunaskan sebelum ini, Adun Salor itu
menghalakan kritikannya kepada beberapa pemimpin kanan Kelantan.
Mereka
ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Dewan Pemuda PAS
Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Exco Pembangunan Islam, Datuk
Nassuruddin Daud.
Dalam 'buah kilas' yang disampaikan ketika
ceramah di Kota Bharu itu Husam membidas Nassuruddin yang meletakkan
hukum haram atas perbuatannya membuka rahsia kerajaan negeri.
Namun
Husam berkata, teguran bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat terhadap bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali jauh
lebih keras.
"Tok guru tegur dan marah apabila Mustafa keluarkan
kenyataan misi 16 September tidak akan berjaya. Beliau buat teguran
terbuka ketika berceramah di Taman Melewar pada 2008 atau 2009.
"Ramai orang terkejut, kenapa tok guru marah sangat kepada Mustafa?
"Dia
juga marah kepada (Datuk) Nasaruddin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden
PAS). Tok guru kata kalau nak berbaik dengan Umno, masuk Umno teruslah
jangan heret PAS," kata Husam di depan lebih 500 hadirin di majlis
pelancaran buku Peringatan Orang Terpedaya terjemahan Ustaz Rahimi Rashid.
Mula buat perangai
Adun
Salor itu menyifatkan, qias digunakan oleh Nassuruddin seperti iblis
yang ingkar perintah Allah apabila disuruh tunduk kepada nabi Adam.
"Qias
ustaz (Nassuruddin) antara bongkar rahsia Rasullulah dan saya tegur
kerajaan negeri tidak sama. Tak boleh buat qias seperti itu. Setakat
saya belajar dengan gemuloh ayoh ambo (arwah ayah saya) dulu, itu orang
yang guna qias iblis, iaitu apabila Allah suruh malaikat tunduk kepada
adam, iblis kata tak nak.
"Alasan iblis, sebab Adam diperbuat
daripada tanah, manakala iblis rasa lebih mulia dia dibuat daripada api.
Padahal itu perintah Allah," jelas Husam.
Terdahulu, Nassurrudin
yang juga Adun Meranti mengeluarkan kenyataan ketika sambutan 60 tahun
PAS dengan menyifatkan Husam mula "membuat perangai" selepas ketiadaan
Nik Aziz.
Sementara itu, Husam turut membidas kenyataan Ahmad yang
disifatkan 'takbur' dengan kekuatan PAS Kelantan berbanding Parti
Amanah Negara (AMANAH) yang baru ditubuhkan.
"Kita di Kelantan
dulu berjaya kerana kita ada sifat tawaduk walaupun pada waktu PAS di
negeri lain berasa sangat kuat. Sekarang pun saya dengar ucapan pemimpin
PAS kebelakangan ini tak lari daripada 'kuat' semata-mata.
"PAS kuat, PAS parti yang paling lama, tertua. Orang lain tak kuat, PAS berpengalaman, parti oren parti poly bag,
tak kuat... Saya nak ingatkan diri saya dan kawan-kawan - kalau kita
nak menang lagi pilihan raya, kita kena ingat apa yang Tok Guru Nik Aziz
kata, PAS ini kuat tapi tak cukup kuat," kata bekas exco kanan Kelantan
itu.
Tambahnya,
Kelantan berjaya menguasai Kelantan selepas berpakat dengan parti
Semangat 46 sekali gus memenangi pilihan raya umum 1990.
"Jadi kerana itu kita menang di Kelantan, tetapi di Kedah dan Terengganu kerana terlalu kuatlah sampai kita kena reject, tak boleh menang.
"Ini berkaitan dengan sifat dalaman manusia, kita tawaduk atau kita takbur," katanya.
Selain itu, Husam turut mengkritik Nik Abduh (gambar) dengan menyifatkan MP Pasir Mas itu seperti orang tidak bersekolah.
"Nik
Abdul ketika berceramah di Terengganu, dia tanya orang mana elok menipu
atau kena tipu? Kenapa tanya macam itu, mu (Nik Abduh) tak sekolahkah?
"Memperbodohkan
orang atau diperbodohkan, menipu orang lain atau ditipu orang
kedua-duanya salah. Tapi dia tanya orang mana elok menipu atau kena
tipu," ujarnya ketika menyentuh isu pelaksaan hukum hudud di Kelantan
yang didakwa PAS telah ditipu oleh BN.
No comments:
Post a Comment