Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri
kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada
buah pinggang dan sistem saraf.
PETALING
JAYA: Selepas Brunei mengharamkan penjualan tiga jenis produk keluaran
Qu Puteh kerana didapati mengandungi bahan berbahaya, hari ini
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan arahan sama.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah berkata, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
(BPFK) KKM telah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang
mengalami tinnitus (berdengung dalam telinga) dan keguguran rambut
setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh
Whitening UV Block selama lebih kurang tiga bulan.
Katanya, pengguna tersebut telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk berkenaan.
“BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening
Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block. Hasil pengujian menunjukkan
salah satu produk tersebut iaitu Qu Outeh Whitening Pro 9 dikesan
mengandungi merkuri pada paras yang tinggi.
“Produk kosmetik yang dicampur palsukan dengan merkuri lazimnya
dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan
seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.
“Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh
memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan
sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak
yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.
Menurut Noor Hisham lagi, kesan mudarat akibat pendedahan kepada
merkuri boleh juga dialami orang sekeliling apabila produk kosmetik yang
mengandungi merkuri itu disapu pada kulit meruap dan dihidu.
Tambah beliau, notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah
dibatalkan dan pihak syarikat bertanggungjawab ke atas notifikasi produk
berkenaan telah diarah untuk memberhentikan penjualan dan pembekalan
dengan serta merta selain, memanggil balik semua stok fizikal produk
tersebut dalam tempoh 72 jam.
Penjual atau pembekal yang engkar dengan arahan itu boleh dikenakan
hukuman dan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi
tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak
melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau
kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya, kata Norr Hisham.
Jelasnya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda
sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000
untuk kesalahan berikutnya.
No comments:
Post a Comment