Para pendeposit di Tabung Haji sememangnya mengharapkan dividen dapat diumumkan seawal yang mungkin
COMMENT
Kebocoran surat amaran dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kepada
Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung nilai aset badan berkanun itu yang
dikatakan lebih rendah daripada liabiliti, menjadi satu topik yang
hangat diperkatakan oleh masyarakat setanding isu pergolakan politik di
Kedah.
Namun, perkara lain yang seiring dengan isu yang melibatkan TH dan
sudah pastinya mendapat perhatian adalah berkaitan pembayaran bonus atau
dividen kepada para pendeposit yang masih belum diterima meskipun
langkah itu telah diambil oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB)
melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagi mereka yang menyimpan di TH, ia dianggap satu perkara penting
kerana simpanan yang dibuat merupakan pelaburan yang sewajarnya
memberikan pulangan buat mereka. Bukanlah berharap sangat dengan dividen
itu kerana matlamat menyimpan di TH adalah sebagai pelaburan untuk
menunaikan kewajipan bagi orang-orang yang berkemampuan.
Apa pun, dua perkara yang timbul itu semangnya bersangkut paut antara
satu dengan yang lain kerana ia melibatkan kepercayaan sebuah badan
kerajaan yang menguruskan kewangan orang Islam.
Seorang sahabat ada memberitahu penulis, dia bimbang terhadap
simpanannya yang telah didepositkan di TH sejak sembilan tahun yang
lalu. Selepas mengetahui isu yang timbul itu dia bertanyakan pendapat
kepada penulis sama ada wajar untuknya mengeluarkan segala simpanan yang
dibuat atau membiarkan sahaja sehingga keadaan benar-benar berubah.
Perkara itu membuatkan fikirannya berkecamuk hingga sesekali
terbayang perkara-perkara negatif yang boleh membawa risiko terhadap
simpanannya itu.
Dalam menjawab persoalan itu, penulis hanya memberitahu kepadanya
bukan sahaja dirinya malah, penulis sendiri ada membuat tabungan di TH
sebagai azam untuk menunaikan rukun Islam bila tiba masanya.
Mengulas mengenai perkara itu, penulis berpendapat, isu yang berlaku
di TH telah menimbulkan rasa cemas kepada rakan penulis sepertimana yang
pernah berlaku sebelum ini apabila orang ramai dikatakan mahu
mengeluarkan simpanan mereka ketika isu pembelian tanah TRX yang
melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Bayangkan jika, langkah yang hendak dilakukan oleh rakan penulis itu
dilakukan oleh semua pendeposit yang bimbang dengan krisis yang dihadapi
oleh TH.
Tidak dinafikan, dalam hal ini penulis juga ada perasaan sama apabila
terdetik di hati mahu mengeluarkan semua simpanan yang ada di dalam TH.
Bagaimanapun, setelah diyakinkan oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul
Azeez Rahim bahawa pengumuman mengenai dividen akan dibuat sebelum
perayaan Tahun Baru Cina, penulis mengurut dada, melapangkan hati yang
resah tadi dengan menantikan pengumuman yang akan dibuat minggu depan
itu.
Sekiranya, janji itu ditunaikan, penulis yakin dakwaan-dakwaan yang
dibuat sebelum ini dapat ditangkis dan nama baik TH sebagai sebuah badan
berkanun yang menguruskan hal ehwal kewangan bakal jemaah haji akan
tetap terjamin.
Namun, jika benar aset TH tidak cukup untuk membayar dividen sudah
tentu pihak berkenaan akan mendapatkan sumber kewangan dari jalan yang
lain.
Persoalannya, adakah sumber itu halal?

No comments:
Post a Comment