18/1/16
Kakitangan di Hospital Melaka membawa kipas ke wad apabila
dimaklumkan ramai pesakit yang kepanasan akibat sistem penghawa dingin
yang tidak berfungsi selama dua hari.
Walaupun kerosakan pada
sistem penghawa dingin itu telah dimaklumkan kepada kontraktor
penyelenggaraan swasta oleh jururawat, namun mereka memilih untuk
membiarkan pesakit kepanasan kerana ia adalah cuti hujung minggu.
"Saya
baru sahaja memantau keadaan dan mengarahkan tindakan segera, termasuk
menyediakan kipas sementara ketika sistem penghawa dingin dibaiki," kata
Pengarah Hospital Melaka Dr Zaaba Baba ketika dihubungi Malaysiakini.
Zaba, yang bertindak dalam masa sejam selepas e-mel Malaysiakini, berkata kontraktor penyelenggaraan swasta diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan sepanjang masa.
Sebelum
ini, Kementerian Kesihatan berkata kerja-kerja pembaikan sedang
dijalankan di pusat sistem penghawa dingin untuk Hospital Selayang yang
rosak pada 14 Januari lalu.
Awal bulan ini, penghawa dingin di ICU
Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan juga dilaporkan tidak berfungsi
dan tingkap dibiarkan terbuka bagi membolehkan udara masuk selain kipas
berdiri digunakan untuk menyejukkan pesakit dan peralatan penting.
Seorang ahli keluarga pesakit Hospital Melaka memberitahu Malaysiakini bahawa
pekerja penyelenggaraan melakukan kerja-kerja pembaikan ke atas sistem
penghawa dingin yang rosak itu, lewat malam semalam.
"Kami telah
mengadu kepada kakitangan hospital dan mereka beritahu bahawa mereka
tidak boleh berbuat apa-apa kerana syarikat penyelenggaraan itu tidak
bekerja pada hujung minggu," katanya.
Wanita yang enggan dikenali
itu, berkata keluarganya membawa dalam kipas meja yang dijadikan
satu-satunya sumber pengudaraan untuk wad tersebut.
Sesetengah pesakit tua juga menanggalkan pakaian mereka kerana mereka tidak tahan panas, katanya.
"Sekarang semua orang selesa. Hanya sekejap sahaja kerja-kerja pembaikan," katanya.
Walaupun
penyelenggaraan hospital diserahkan kepada kontraktor swasta, standard
atau mutu perkhidmatan di hospital awam adalah pada tahap membimbangkan
berikutan pemotongan bajet kepada Kementerian Kesihatan.
Kerajaan
memberi jaminan bahawa ia tidak akan berkompromi dalam penjagaan
kesihatan dan berkata pengurangan bajet akan dibuat bagi persidangan dan
lawatan ke luar negara, antara lain.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment