Saturday, February 20, 2016

Hantar pulang Pati, elak lambakan pekerja asing


Pati (Gambar hiasan)
Sinar Harian/Gambar hiasan
SHAH ALAM - Kemasukan 1.5 juta tenaga buruh asing mungkin bertujuan untuk memenuhi keperluan ekonomi negara, bagaimanapun kerajaan perlu memperkasakan penghantaran pulang tenaga buruh asing yang memegang status pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ini kerana menurut Saujana Tamu Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Azizah Kassim, negara mungkin berdepan dengan lambakan pekerja asing, sekaligus boleh menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat dan sebagainya.

“Saya tidak tahu sama ada kerajaan sudah lakukan kajian terhadap penggunaan tenaga buruh. Bila ada (tenaga buruh asing) yang dibawa masuk, mungkin ada yang akan dibawa keluar.

“Kalau ia tidak berlaku seperti itu, akan ada lambakan pekerja asing di negara ini,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Semalam, Bangladesh dan Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Menurut laporan berita The Daily Star, perjanjian itu ditandatangani di Bangladesh antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, Nurul Islam pukul 10 pagi tadi (pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Menurut Azizah lagi, sebelum kerajaan perlu menyelesai isu Pati terlebih dahulu sebelum membawa masuk pekerja asing di negara ini.

“Kita tak tahu anggaran sebenar Pati dalam negara ini. Jumlah mereka berubah dari hari ke hari. Kebanyakan buruh asing  memang memegang dokumen perjalanan yang sah ketika dibawa masuk ke dalam negara.

“Bagaimanapun bila ada di antara mereka yang meninggalkan majikan dan bekerja dengan majikan lain, status mereka bertukar kepada Pati. Buruh tenaga seperti ini perlu dihantar pulang terlebih dahulu sebelum 1.5 juta pekerja asing itu dibawa masuk,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan perlu menyediakan penempatan khusus untuk buruh tenaga asing supaya boleh mengawal dan memantau pergerakan mereka.

“Dengan cara itu, kita boleh tahu status mereka dari semasa ke semasa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment