Tuesday, February 16, 2016

'Jangan main-main, ayah nak tanding PRU depan'

Malaysiakini 16/2/16

"Jangan main-main, ini bukan dugaan," kata Pengerusi Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup yang hari ini melahirkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bukan itu sahaja, Abdul Rani juga mahu mencabar kerusi parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang yang masing-masing disandang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Saari Sungib.

Abdul Rani atau dikenali sebagai 'Paduka Ayahanda Arka' berkata, hasratnya itu timbul selepas mendapat dorongan dan galakan daripada pengikutnya di Facebook.
"Daripada pengikut Ayah di Facebok, mereka berhasrat nak tengok Ayah bertanding dalam pilihan raya.

"Ayah pun nak juga cuba apa salahnya kalau Ayah bertanding.
"Masa pilihan raya lalu banyak juga NGO yang bertanding. Jadi apa salahnya kali ini Ayah bertanding pula," katanya bersemangat dalam temubual bersama Malaysiakini.
Abdul Rani yang terkenal dengan gelaran 'Raja Report' berkata lagi, beliau sangat serius untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

"Jangan main-main. Ini bukan cubaan, dugaan, ini betul-betul Ayah akan bertanding," katanya sambil menggenggam tangan.
Mahu rakyat hidup senang

Berhasrat untuk bertanding atas tiket Bebas, Abdul Rani juga berkata antara 'manifesto' ditawarkan sekiranya beliau menang ialah memastikan rakyat hidup senang.
Malah, beliau juga akan memastikan bahawa dirinya tidak akan menjadi seperti wakil rakyat yang sedia ada apabila hanya 'muncul' lima tahun sekali.

"Ayah kalau dapat peluang jadi wakil rakyat Ayah akan bela rakyat dan tak akan tinggalkan rakyat.
"Ayah tak nak senang sorang. Biar rakyat senang, Ayah senang kemudian tak apa," katanya lagi.

Abdul Rani yang akan menginjak usia 61 tahun 10 Mac depan berkata, beliau telah lama bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat.

Katanya, beliau tidak mahu hanya menjadi pemimpin di peringkat NGO sahaja tetapi ingin ke peringkat lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment