Tuesday, March 29, 2016

Kempen bantu Mat Sabu capai sasaran

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
SHAH ALAM - Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, kempen ‘Derma #SahabatMatSabu, RM10 seorang’ telah berjaya mengumpul kutipan derma mencecah RM200,000.

Difahamkan, kempen itu dilancar bagi membantu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang diperintahkan mahkamah untuk membayar RM200,000 dalam kes saman dikemukakan oleh bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wakil kumpulan aktivis, Hishamuddin Rais dalam satu kenyataan bersama, pihaknya telah menutup tabung tersebut secara rasmi dan jumlah rasmi kutipan derma akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Adalah dimaklumkan kutipan derma untuk Mat Sabu yang dijalankan oleh  ‪#‎SahabatMatSabu telah berjaya mencecah RM200,000.

“Dengan ini diumumkan tabung ini akan ditutup secara rasmi #SahabatMatSabu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma. Akaun ini akan diaudit dalam masa terdekat dan jumlah rasmi juga akan diumumkan,” katanya seperti yang dipetik menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Amanah.

Menurutnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu atau pihak yang mengenali Mohamad atau Mat Sabu untuk membantu pemimpin politik itu.

Jelasnya lagi, tarikh penyerahan duit kepada pihak peguam Mat Sabu juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment