UMNO Bahagian Pengerang pernah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
PETALING JAYA: Bidas membidas antara dua pemimpin UMNO dari Johor
iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin berterusan.
Terbaharu, Azalina menerusi akaun Twitter mengingatkan bekas Timbalan
Perdana Menteri supaya tidak cuba menjadi hero apabila mengaku antara
individu yang menubuhkan Puteri UMNO.
Azalina, bekas Ketua Puteri UMNO yang pertama berkata, Muhyiddin sanggup melakukan apa sahaja untuk terus kekal relevan.
“Tan Sri Muhyiddin tergamak perlekeh parti semata-mata angkat diri sendiri sebagai hero.
“Tan Sri Muhyiddin mengaku sebagai hero yang tubuhkan Puteri UMNO. Ini tidak benar,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dalam ceramahnya di Parlimen Pengerang mendakwa
beliau adalah orang yang bertanggungjawab memberikan galakkan kepada
Azalina untuk menubuhkan Puteri UMNO.
Azalina, Ahli Parlimen Pengerang menambah, tindakan Muhyiddin
mengadakan ceramah di seluruh negara mengkritik kepimpinan UMNO hanya
memecah belahkan parti.
Sehubungan itu, beliau berharap Muhyiddin dapat bersikap lebih matang
dalam setiap tindakannya dan tidak mudah lupa jasa parti kepada beliau.
“Tan Sri Muhyiddin jangan buat-buat lupa apa UMNO Bhg Pengerang
pernah buat untuk beliau. Pernah sokong beliau sebagai Timbalan
Presiden,” tulisnya

No comments:
Post a Comment