Mohamed Khaled Nordin
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat masa depan Johor memberi
kesan besar kepada Kerajaan Persekutuan susulan Umno di negeri itu
merupakan tulang belakang kepada Umno serta BN secara keseluruhannya.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr
Kassim Tukiman berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin sejak mengambil alih pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) lalu terus bekerja demi membangunkan negeri itu.
“Kalau dilihat dalam suasana sekarang, Johor begitu mantap dari segi
politik dan program pembangunan. Ada pula sinergi...kerjasama yang kuat
antara kerajaan, istana serta rakyat.
“Jadi, atas semangat yang mantap itu, pada hemat saya, apa perlunya nak
timbulkan isu pertukaran kepimpinan sebab beliau sendiri sudah buktikan
kewibawaannya dalam menerajui parti dan merancang projek pembangunan
demi rakyat di Johor,” katanya kepada Sinar Online.
Berita mengenai wujudnya gerakan menjatuhkan Mohamed Khaled menjadi
tumpuan selepas dakwaan dibuat anak Speaker Dun Johor, Syukur Mohamad
melalui sebuah portal sebelum ini.
Mengulas lanjut, Dr Kassim berkata, Mohamed Khaled fokus kepada
posisinya sebagai menteri besar dengan niat untuk menarik balik sokongan
rakyat kepada kerajaan selepas PRU13 apabila sokongan kepada kerajaan
semakin merosot.
“Kalau kita lihat selepas beliau mengambil alih kerajaan pada 2013,
beliau mengutamakan pelan suara hati rakyat demi pembangunan bangsa
Johor. Sebelum ini, beliau ada menyebut tentang usahanya untuk
menggerakkan Umno dan BN di Johor bagi mengukuhkan kerajaan.
“Jadi, dengan memperkasa parti, pada masa sama melancarkan pelbagai
projek pembangunan, pelbagai inisiatif dan pelbagai kerjasama dengan
universiti-universiti, itu telah menonjolkan keterampilannya sebagai
pemimpin berwibawa di Johor.
“Pada hemat saya, sesuatu yang merugikan kepada parti dan kerajaan jika
sekiranya berlaku proses perubahan seperti mana berlaku di Kedah sebab
melalui ‘track record’ Datuk Khaled sebagai menteri besar memang mantap
dan kukuh,” katanya.
Namun tidak dinafikan katanya, Mohamed Khaled kelihatan berseorangan dalam konteks memimpin negeri itu.
“Dulu kita (Johor) ada menteri-menteri yang handal di Pusat, jadi,
sekarang ini diharapkan pemimpin-pemimpin Johor yang bertugas di
Persekutuan sebagai menteri atau timbalan menteri sama-sama membantu
Datuk Khaled dalam membangun Johor.
“Ini bagi memantapkan parti dan kerajaan di Johor. Apa yang paling saya
bimbang ialah, jika Johor rapuh memang ia akan memberi kesan besar
kepada pentadbiran Persekutuan,” katanya
No comments:
Post a Comment