1Malaysia Development Berhad
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta pihak
berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia
Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang
berkaitan.
Menurut PAC, Shahrol Azral perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan
dan kekangan dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik milik
kerajaan itu.
Sebelum ini, PAC telah memanggil Shahrol Azral untuk memberi taklimat dan penjelasan pada 25 dan 30 Nov 2015.
Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, dalam kenyataannya,
menyarankan pihak penguat kuasa perlu membuat siasatan lanjut dan,
mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud kesalahan.
PAC dalam laporan itu seterusnya mengesyorkan supaya Lembaga Penasihat
1MDB dimansuhkan berserta Artikel 117 dalam Memorandum dan artikel
syarikat itu.
"Segala rujukan kepada YAB Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri
Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan MKD
(Menteri Kewangan Diperbadankan)," menurut jawatankuasa Parlimen itu
dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di
Parlimen di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: PAC: Prestasi kewangan 1MDB 'kurang memuaskan']
Laporan itu turut dimuat naik di laman web Parlimen www.parlimen.gov.my.
Artikel 117 di bawah memorandum dan artikel 1MDB antara lain menetapkan
semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB,
serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan 1MDB
boleh mempunyai kesan kepada jaminan kerajaan Persekutuan perlulah
mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.
Dalam laporannya, PAC mendapati pengurusan 1MDB beberapa kali tidak
mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau pun bertindak
sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.
"Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa
penilaian terperinci (termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai
syarikat) dan beberapa keputusan besar telah dibuat melalui resolusi
bertulis," menurut laporan itu.
PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan di dalam
struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi
apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.
Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh lembaga pengarah termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.
Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta
merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul
pada November 2014.
Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu,
sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei
2015.
Pada 4 Mac, 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari
berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemerksaan
telus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersifat
bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.
Menurut laporan itu, 1MDB bergantung kepada hutang (pinjaman bank, bon dan sukuk) sebagai modal syarikat, iaitu sebahagian hutang tersebut telah mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.
Menurut laporan itu, 1MDB bergantung kepada hutang (pinjaman bank, bon dan sukuk) sebagai modal syarikat, iaitu sebahagian hutang tersebut telah mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.
PAC turut mengesyorkan supaya anak-anak syarikat dan aset milik
kumpulan 1MDB (TRX, Bandar Malaysia, tanah Air Itam, tanah Pulau Indah)
diserahkan kepada MKD, supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan
lebih rapi dan teliti.
"Sesungguhnya, pengalaman yang dilalui oleh 1MDB telah mendapat perhatian umum dan antarabangsa dengan begitu meluas.
"Ini adalah satu pengajaran kepada semua syarikat GLC negara ini
tentang pentingnya tadbir urus yang cekap dan berintegriti diamalkan.
Pengalaman ini juga relevan kepada kerajaan, kementerian, jabatan dan
agensi kerajaan," menurut laporan itu.- Bernama
No comments:
Post a Comment