Lim Guan Eng menggesa Paul Low meletak jawatan sebagai bantahan terhadap penahanan pemberi maklumat seperti Rafizi
GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low perlu
berundur sebagai membantah penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Tindakan meletak jawatan itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng, adalah mesej kepada kerajaan untuk melindungi pemberi maklumat
kegiatan rasuah.
“Saya tanya Low, apa gunanya jadi menteri, kalau Rafizi boleh ditahan hanya kerana mendedahkan kegiatan rasuah?
“Low perlu letak jawatan sebagai protes atau beliau boleh terus jadi
menteri untuk buktikan ini adalah perkara biasa,” katanya dalam satu
sidang media di Komtar, hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu kecewa, kerana Rafizi yang bertindak
mendedahkan kegiatan rasuah, tidak diberikan perlindungan di bawah Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Rafizi yang juga Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung PKR, ditahan polis sebaik saja keluar dari kawasan Parlimen, semalam.
Beliau ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA), kerana menyampaikan rahsia rasmi kerajaan secara salah.
Rafizi dipercayai ditahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rahsia
di bawah OSA yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB dan Lembaga Tabung
Angkatan Tentera.
“Kami mengutuk penahanan Rafizi di bawah OSA. Kami sangat sedih melihat beliau memakai baju lokap,” kata Guan Eng.

No comments:
Post a Comment