Malaysiakini 29/4/16
Pihak berkuasa Singapura pada 20 April lalu mendakwa seorang
rakyatnya, Kelvin Ang Wee Keng, 34, kerana dituduh memberi rasuah
S$3,000 kepada seorang penganalisis bagi mempercepatkan penyediaan
laporan penilaian yang dikaitkan dengan 1MDB.
The Edge Markets melaporkan bahawa penganalisis itu, Lee Chee Waiy, turut disoal-siasat oleh penyiasat Singapura.
Ini disahkan oleh penganalisis itu sendiri yang enggan mengulas lanjut, menurut laporan itu.
Laporan
tersebut menyatakan bahawa mengikut profil LinkedIn Lee, beliau adalah
pengarah bersekutu di NRA Capital antara Ogos 2008 dan Oktober 2015,
firma yang sama yang dilantik untuk menilai "unit" 1MDB di Kepulauan
Cayman yang diuruskan oleh Bridge Capital Partners.
Menurut
kenyataan 1MDB pada 14 November tahun lalu, 1MDB menerusi unitnya Brazen
Sky Limited memiliki dana dalam bentuk unit bernilai AS$2.33 bilion di
Cayman yang didaftarkan pada 31 Mac, 2014.
Pelaburan dana unit itu
adalah daripada nota janji hutang 1MDB yang diterima susulan penamatan
daripada usaha sama dengan PetroSaudi International.
Seterusnya,
pada bulan November 2014, pelaburan AS$1.22 bilion ditebus oleh 1MDB
untuk membayar kepentingan hutang dan sebagai bayaran kepada Aabar
Investments PJS.
Status baki AS$1.1 bilion sebelum ini menjadi
kontroversi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga
adalah menteri kewangan, berkata ia telah ditebus dalam dolar AS.
Bagaimanapun,
ia kemudiannya didedahkan jumlah berkenaan masih dalam "unit" mendorong
ahli parlimen untuk menuduh menteri kewangan berbohong.
Presiden
1MDB Arul Kanda Kandasamy kemudian berkata ia adalah satu kesilapan di
pihaknya dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu.
Menurut laporan itu, NRA Capital tidak mahu mengulas.
No comments:
Post a Comment