Zulkeflee menunjukkan gambar anaknya Aiman yang cedera selepas dipercayai disepak pelajar senior semalam.
KOTA BHARU - Sambutan ulang tahun kelahiran ke-50 seorang pensyarah
bertukar tragis apabila mendapat berita anak lelaki keduanya retak
tulang leher dipercayai akibat disepak pelajar senior dalam kejadian di
Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Mangsa, Aiman Hazim Zulkeflee, 15, bukan sahaja mengalami kecederaan
parah, malah tidak sedarkan diri selepas dibuli pelajar terbabit.
Menurut bapa mangsa, Zulkeflee Yaacob, 50, dia hanya menerima panggilan
telefon dari isterinya ketika sedang meraikan hari lahirnya bersama
pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) di Perak.
"Saya terima panggilan kira-kira jam 4 petang semalam, dan selepas
menerima berita mengenai keadaan Aiman, saya terus bergegas pulang ke
rumah kira-kira jam 5 petang.
"Dalam perjalanan selama 8 jam, saya tiba di Kelantan pada jam 1.30
pagi tadi, dan masih belum sempat bertemu Aiman yang dilaporkan stabil
namun masih trauma," katanya.
Zulkeflee berkata, dia kesal apabila laporan berhubung kejadian itu
hanya dimaklumkan kepada isterinya sahaja tanpa dimaklumkan terus oleh
pihak sekolah kepadanya.
"Dari apa yang saya ketahui, Aiman disepak pelajar tingkatan empat,
ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Pelajar berkenaan dipercayai
melakukan tindakan itu seorang diri dengan menyepak leher anak saya
sebanyak dua kali sehingga dia terjatuh.
“Bukan itu sahaja, tindakan pelajar itu tidak terhenti di situ, malah
dia turut menyepak dagu anak saya sehingga menyebabkan dia pengsan dan
tidak sedarkan diri,” dakwanya.
Zulkeflee berkata, sejurus selepas kejadian, guru Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid (PKHEM) sekolah ada memaklumkan kejadian itu pada isterinya
melalui panggilan telefon dan mengakui kejadian itu berlaku ketika Aiman
berada di dalam kelas kosong berhampiran tandas lelaki.
“Aiman kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik
Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum di rujuk ke Hospital Raja Perempuan
Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
“Buat masa ini, Aiman masih dalam keadaan trauma dan mengikut doktor,
keretakan tulang lehernya itu turut mengambil masa yang lama untuk
pulih,” katanya.
Zulkeflee berharap, kes terbabit diberi perhatian serius memandangkan
ia melibatkan kejadian buli dan pihak sekolah seharunsnya mengambil
tindakan segera memandangkan ia boleh menyebabkan mangsa mengalami
tekanan emosi.
No comments:
Post a Comment