SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam proses membatalkan
pendaftaran dan operasi sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di
utara semenanjung, dalam masa terdekat.
AADK dalam satu kenyataan semalam berkata, agensi itu akan membuka satu
kertas siasatan ke atas pusat tersebut bagi membolehkan pendakwaan
dibuat di bawah Seksyen 16 (4) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan
Pemulihan) 1983.
“Memandangkan uusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) itu masih gagal mematuhi arahan pemberhentian operasi.
“Tindakan mendakwa pihak terbabit akan diambil sebaik sahaja proses
membatalkan pewartaan PPDP itu selesai dibuat dalam masa terdekat ini,”
kata kenyataan itu.
Laporan Sinar Harian pada 19 Mei lalu mendedahkan PPDP terbabit tidak
memberikan layanan memuaskan kepada penghuni yang mendapatkan rawatan
pemulihan bagi masalah ketagihan dadah.
Rumah pemulihan persendirian itu didakwa bukan sahaja melakukan
penderaan fizikal dan mental ke atas pesakit semasa menjalani rawatan,
bahkan dipaksa mengikut ajaran sesat yang dibawa pengasas rumah itu yang
dipanggil ustaz, seperti berzikir sambil menari.
AADK juga memaklumkan, kes itu bukan baharu, kerana pihaknya menerima
aduan pertama mengenainya pada 15 Januari 2015, di mana seorang pengadu
mendakwa abangnya didera ketika menjalani rawatan di rumah terbabit.
“Satu lawatan mengejut telah dilakukan oleh AADK pada 20 Januari 2015,
bagi tujuan pemantauan dan penyeliaan terhadap pusat itu.
“AADK turut menjalankan ujian saringan urin serta menemu ramah beberapa
individu di PPDP tersebut berikutan aduan yang diterima,” kata
kenyataan itu.
Berikutan aduan dan lawatan AADK, rumah pemulihan terbabit diarahkan
menghentikan operasinya pada 6 Februari 2015, namun pengasasnya masih
berdegil dan meneruskan operasi seperti biasa.
“Satu surat arahan memberhentikan pengoperasian PPDP tersebut telah
dikeluarkan melalui emel bertarikh 6 Februari 2015 yang ditandatangani
oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Suhaimi Abdullah, dan edaran telah
dibuat kepada Pengarah AADK negeri bagi tindakan selanjutnya.
“Satu kertas siasatan telah dibuka oleh AADK negeri pada 19 Mac 2015
memandangkan rumah pemulihan itu berdegil dengan arahan pemberhentian
operasi,” kata kenyataan itu.
No comments:
Post a Comment