Friday, May 20, 2016

Ahli PAS jangan terseret isu kedudukan Exco Selangor -Mustafa Ali

 | May 20, 2016
PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Mustafa-Ali_selangor_pas_60
PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menggesa seluruh jentera dan ahli parti Islam itu supaya tidak terseret dengan spekulasi mengenai kedudukan EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Menurutnya, ahli-ahli PAS perlu fokus kepada kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana, soal kedudukan itu pastinya akan ditangani secara tertib dan bijaksana.
“Tidak timbul soal Exco PAS meletakkan jawatan atau dipecat daripada jawatan. Teruskan pemantapan jentera PRK di semua peringkat kerana PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Mustafa adalah respons kepada The Star Online yang melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu tiga exco PAS Selangor bahawa mereka perlu meletak jawatan pada Isnin ini jika PAS berdegil dengan keputusan bertanding di PRK Sungai Besar.

Bagaimanapun, Pejabat Menteri Besar Selangor dan pemimpin PKR menolak laporan berita menyatakan Azmin mengeluarkan kata dua kepada PAS untuk tidak bertanding di PRK Sungai Besar.
Semalam, media melaporkan PAS menyerahkan enam nama calon bagi dua PRK itu kepada Dewan Ulama bagi proses saringan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandang masing-masing Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad, korban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Kedua-dua PRK akan diadakan serentak pada 18 Jun dan penamaan calon pada 5 Jun

No comments:

Post a Comment