BBC, Channel 4 dikenalpasti pelabur berpotensi untuk filem yang diberi judul Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (FINAS) berusaha
menarik pelabur luar negara untuk membawa komplot pengambilalihan
syarikat perladangan Guthrie milik British oleh Tan Sri Khalid Ibrahim
dan sekumpulan anak tempatan ke layar perak.
Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman berkata pihaknya sekarang
ini menunggu pengarah Bront Palarae, dan penulis skrip Redzha Minhat dan
Chew Kin Wah, menyiapkan skrip untuk filem yang diberi judul Dawn Raid:
The Hands That Rattled The Queen.
“Bront Palarae sudah mendapat kelulusan untuk menghasilkan skrip.
Selepas skrip itu sudah dihasilkan, baru kita tengok bajet dan barulah
produksi boleh dilakukan.
“Apa yang saya nak buat di FINAS, bila skrip sudah siap dan kini dia
(Bront) juga tengah menyiapkan skrip, saya hendak cuba menarik pelabur
dari England ke dalam filem itu,” katanya kepada FMT, di FINAS, hari
ini.
Filem yang bakal diarahkan Bront itu mengisahkan bagaimana bekas
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kumpulannya di
Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan serangan kilat terhadap
London.
Berlatarkan fasa radikal Dasar Ekonomi Baru (DEB), penyelidik Shakila
Yaacob dan Nicholas J White melaporkan Pengerusi PNB ketika itu, Tun
Ismail Mohammad Ali (1978 – 1998) yang juga bekas Gabenor Bank Negara
memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan dalam projek Dawn
Raid.
“Saya telah jumpa BBC dan Channel 4 di England bertanya sama ada
untuk melabur ke dalam filem itu jika skrip sudah siap. Malah, saya akan
bawa skrip itu ke England kerana FINAS sudah ada hubungan baik dengan
dua stesen televisyen ini,” kata Kamil.
Tambah Kamil lagi, beliau juga menggalakkan filem-filem yang
mempunyai nilai sejarah dan mempunyai hubung kait antara Malaysia dan
negara-negara bekas penjajah seperti England, Portugal, dan Belanda di
filemkan.
“Jika ia ada kena mengena dengan England dan Malaysia, mungkin mereka
boleh cari pelakon di England dan jika mereka melabur sebanyak satu
juta pound sterling, dengan pertukaran mata wang sekarang, satu juta
pound sterling kita sudah dapat tajaan sebanyak enam juta ringgit,”
ujarnya
No comments:
Post a Comment