SHAH ALAM - Laporan berhubung tuduhan habuan wang dan permintaan
perempuan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan diserahkan
kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk tindakan
selanjutnya.
Menurut Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, segala maklumat yang ada
setakat ini akan diserahkan kepada presiden bagi mendapatkan nasihat dan
arahan selanjutnya daripada Ketua Pembangkang itu.
"Perkara ini akan dikendalikan secara dalaman mengikut proses yang ditetapkan oleh perlembangan parti," katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, "tuduhan itu bukan terhadap individu
yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat
atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara)
atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah
Kerajaan Selangor."
"Saya kesal bila mana mesej peribadi itu dipersembahkan dalam konteks
yang berlainan kepada umum yang boleh mengundang tanggapan buruk
terhadap Kerajaan Negeri Selangor," tambahnya lagi.
Menurut Rafizi, beberapa individu memintanya untuk menyiasat dengan
lebih lanjut beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum
dan beliau telah merujuk perkara itu kepada Timbalan Pengerusi PKR,
Zuraida Kamaruddin atau digelar sebagai 'Kak Zu' dalam mesej yang
dibocorkan itu.
"Ini adalah perkara biasa yang saya hadapi setiap hari sebagai Pengarah
Eksekutif NOW (National Oversight & Whistleblowers), saya menerima
beribu maklumat dan aduan setiap tahun yang mendakwa salahlaku dan
penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.
"Oleh itu, aduan dan tuduhan yang dirujuk di dalam mesej WhatsApp saya
akan melalui proses yang sama seperti aduan-aduan lain untuk melepasi
keperluan bukti minimum.
"Jika tiada bukti sokongan yang adil, NOW tidak akan memanjangkan
perkara ini kerana sumber kita adalah terhad," katanya dalam satu
kenyataan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Habuan wang, wanita: Tuduhan jijik dan bacul]
Mengulas lanjut, Naib Presiden PKR itu berkata, tuduhan terhadap
kepimpinan parti tidak perlu dipandang enteng bagi menjaga nama baik
parti kerana khuatir akan mendedahkan perjuangan kepada anasir yang
merosakkan.
"Saya rela terlebih berhati-hati kerana sebagai parti reformasi, PKR
mestilah telus dan bersih. Tidak mencukupi bagi pimpinan dan anggota
kita tidak terlibat di dalam penyelewengan, kepekaan kita kepada
persepsi rakyat mengenai bersihnya kita mestilah mengatasi semua parti
lain di negara ini," katanya
No comments:
Post a Comment