Thursday, May 26, 2016

Mahu Malaysia hebat semula? Selesaikan isu 1MDB, kata Lim

25/5/16

Lebih baik selesaikan segera isu 1MDB yang berlarutan jika ingin Malaysia menjadi negara hebat di Asia sekali lagi, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Siregar.

Mohd Irwan pagi ini memberitahu belia Malaysia bahawa sikap berpuas hati menyebabkan Malaysia kehilangan kedudukan utama di rantau ini, dan kini terpaksa bersaing dengan negara  yang ketinggalan seperti Vietnam dan Indonesia.
"Biar Mohd Irwan (gambar) nasihatkan perdana menteri yang juga menteri kewangan bahawa Malaysia tidak seharusnya menjadi tumpuan dunia untuk alasan yang salah.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk membawa skandal global 1MDB ke penghujungnya, bukan dengan cara menutup segala-galanya yang mustahil dalam masyarakat global di era maklumat," katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata ini boleh dilakukan dengan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat derma RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isu 1MDB.

Jika tidak, beliau berkata, Malaysia akan hanya menerajui dalam penyelewengan kewangan dan menafikan salah laku walaupun terdapat siasatan antarabangsa mengenai perkara itu.
"Pernahkah terdapat kes seumpama ini, di mana syarikat yang sedang disiasat kerana pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit dan rasuah global dengan puluhan negara asing melakukan siasatan tetapi dinafikan oleh syarikat yang terjejas berkenaan dan kerajaan?

"Pada skor ini, kita menjadi yang pertama di dunia," katanya.
Gesaan itu dibuat ketika pihak berkuasa Switzerland berkata tindakan jenayah telah diambil terhadap bank BSI kerana pengubahan wang haram dan rasuah yang berkaitan dengan 1MDB.
Pihak berkuasa Singapura juga mengarahkan penutupan BSI di Singapura.

1MDB berkata ia sedang bekerjasama dalam semua siasatan tetapi tidak agensi Singapura dan Switzerland yang menghubungi firma pelaburan negara itu.

No comments:

Post a Comment