Majikan mungkin melakukan "retrenchment" sebelum
Julai bagi mengelakkan tanggungan kos seperti pembayaran faedah berhenti
kerja yang lebih tinggi selepas tempoh itu
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan
menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum meskipun Perintah Gaji
Minimum 2016 (PGM 2016) akan berkuatkuasa mulai 1 Julai tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika dasar
ini terus dilaksanakan, dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat
bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum
Julai ini.
“Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa ekoran cabaran ekonomi semasa.
Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka akan
melakukan “retrenchment” sebelum Julai kerana jika mereka melakukan
selepas Julai, sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi
dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya,” kata beliau
kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau turut menganggarkan 60,000 pekerja akan diberhentikan kerja
sepanjang tahun ini ekoran keputusan kerajaan menguatkuasakan PGM 2016
mulai 1 Julai dengan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 bagi pekerja
di Semenanjung manakala RM920 untuk pekerja di Sabah, Sarawak dan
Labuan.
Shamsuddin berkata pekerja yang berisiko diberhentikan kerja ialah
dari pelbagai sektor terutama sektor minyak dan gas, perbankan dan
kewangan, insurans serta peruncitan.
“Kita tahu sekarang dari segi perolehan sektor peruncitan terutama
pasar raya besar, banyak mengalami penurunan dan sesetengah mereka telah
menjalankan pemberhentian pekerja walaupun dari segi amalannya mereka
masih mengamalkan “voluntary retrenchment,” katanya.
Beliau berkata, situasi ini amat membimbangkan dan kerajaan
sepatutnya mengambil pendekatan membantu syarikat-syarikat tempatan
bertahan dalam masa yang sukar supaya dapat mengekalkan pekerja.
Katanya, sepanjang tahun lepas, banyak syarikat besar merekodkan
penurunan perolehan iaitu 30 hingga 40 peratus dan menyebabkan 38,000
pekerja terpaksa diberhentikan.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment