Keputusan PKR untuk bersama PAS atau PH tidak boleh
ditangguh-tangguhkan lagi kerana ia akan menjadi tidak relevan dalam
tempoh sebulan dua dari sekarang.
PETALING JAYA: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengajak PKR menyertai
blok politik ketiga bersama parti Islam itu dan Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (IKATAN), selepas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali menyarankan PAS kembali bersama DAP dan parti itu.
Pengarah Operasi PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata tanpa DAP,
pihaknya melihat gabungan PAS, PKR dan parti-parti lain seperti IKATAN
mampu membawa kesan besar termasuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Keputusan PKR untuk bersama PAS dan blok barunya atau Pakatan
Harapan (PH) tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi dengan pengertian
lain ‘strategi melambat-lambatkan permainan’ akan menjadi tidak relevan
dalam tempoh sebulan dua mulai sekarang,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin yang
menyarankan PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai sebuah pasukan untuk
menghadapi PRU14.
Azmin berkata, parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas
kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang jelas
menunjukkan rakyat Sarawak menolak parti pembangkang disebabkan
perbalahan sesama sendiri.
Beliau berpendapat, pencapaian pembangkang pada PRN kali ini mungkin
lebih baik jika sejak awal lagi mereka bersatu hati dan bekerjasama.
Mengulas lanjut, Zuhdi menjelaskan parti itu masih mematuhi keputusan
Majlis Syura Ulama PAS yang menetapkan hubungan tahaluf siyasi antara
PAS dan DAP telah terputus manakala hubungan dengan PKR masih terjalin.
“Berdasarkan pemantauan PPP terhadap kenyataan-kenyataan pimpinan PAS
dan PKR didapati PAS tidak pernah meninggalkan PKR tetapi PKR yang
kelihatan menjauhkan diri daripada PAS,” katanya.
Mengulas saranan Azmin supaya PAS kembali bersama DAP dan PKR, Naib
Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin pula berpendapat parti itu
selesa dan komited dengan blok politik ketiga iaitu bersama IKATAN dan
badan-badan bukan kerajaan di bawah Kongres Rakyat.
“PAS sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama politik dengan
mana-mana parti asalkan parti tersebut menghormati dasar PAS dan
ketetapan dalam perjanjian kerjasama,” tegasnya
No comments:
Post a Comment