Sunday, May 8, 2016

Pecat Husam kerugian besar buat PAS – Mazian

 FMT| May 7, 2016
Husam merupakan tokoh lama yang banyak membantu parti, ditambah pula beliau merupakan anak didik Nik Aziz.
nik-mazian-nik-mohamad_Husam-Musa_pas_600_1
PETALING JAYA: Tindakan memecat ADUN Salor, Datuk Husam Musa merupakan kerugian besar buat PAS.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad berkata, Husam merupakan tokoh yang banyak berjasa kepada parti, ditambah pula beliau merupakan anak didik almarhum mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaubagaimanapun, beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan PAS memecat Husam kerana melanggar peraturan parti.
“Ini adalah satu kerugian bagi PAS dan menguntungkan parti lain sekiranya Husam sertai (mereka).

“Malah kedudukan PAS juga kemungkinan terjejas bila kita pecat orang macam dia,” kata Mazian, merujuk kepada peristiwa kekalahan PAS di Kelantan pada 1978 selepas dua pemimpin lama PAS iaitu Datuk Muhamed Nasir dan Mohd Asri Muda dipecat.

“Kemungkinan perkara seperti itu akan berulang kalau kita tidak buat kerja betul-betul, kita kena jaga PAS dari sekarang jangan biar sejarah berulang,” katanya kepada FMT.
Mazian pada masa sama turut menafikan kononnya beliau serta beberapa pemimpin lain akan meninggalkan PAS sekiranya Husam dipecat.

“Saya kekal dalam PAS, pendirian saya lain dan saya tidak ikut dia (Husam) dan saya juga akan terus bersama PAS dan membantu parti terutamanya di Kelantan.

“Pentadbiran kerajaan PAS Kelantan baik tidak ada masalah, dan kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah juga bagus tidak ada masalah,” katanya.

Sehubungan itu, Mazian menggesa supaya semua pemimpin PAS, dan ahli parti untuk terus istiqamah dan bekerja untuk rakyat bagi memastikan parti terus kekal.

No comments:

Post a Comment