Saturday, May 7, 2016

RM100 juta jika terbukti D’Herbs rampas tanah Kedah

 FMT| May 6, 2016
Aliff menjelaskan, tanah seluas 60 hektar itu bukan atas permintaannya, sebaliknya KFA yang menawarkan tanah itu kepadanya.
Aliff-Syukri_ahmad-bashah_kedah_600
KUALA LUMPUR: Pengasas D’Herbs Healthy Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman langsung tiada niat merampas 60 hektar tanah milik rakyat Kedah.
Ia sekaligus menafikan dakwaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kononnya hak serta aset rakyat negeri Jelapang Padi itu akan tergadai, jika persatuan berkenaan menerima tajaan D’Herbs.
“Saya amat kecewa dengan Menteri Besar Kedah. Apa yang beliau maksudkan dengan hak rakyat negeri Kedah akan tergadai?
“Mereka yang kata saya ambil tanah secara percuma atas nama Aliff Syukri Kamarzaman adalah menipu. Tanah itu bukan saya yang minta, tetapi mereka (KFA) tawarkan tanah itu,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat D’Herbs Healthy Sdn Bhd, hari ini.

Tambah Aliff lagi, tanah itu tidak diberi secara percuma sebaliknya ia akan dimajukan secara usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

“Tanah di kawasan tersebut merupakan tanah terbengkalai. Jadi, saya ada menawarkan untuk membangunkan bandar D’Herbs. Jadi, tidak ada isu nama saya di tanah berkenaan,” tegasnya.

Mengakui terkejut dengan cara KFA menolak tajaan syarikat kosmetik itu, Aliff mencabar KFA menunjukkan bukti beliau akan merampas tanah-tanah milik rakyat Kedah.
Malah, beliau sanggup memberi RM100 juta jika terdapat terbukti seperti yang didakwa Ahmad Bashah.

“Saya sebenarnya amat kecewa bila dikatakan aset negeri Kedah akan tergadai. Kalau macam ini permainannya, saya sudah lama menarik diri.

“Kalau saya nak ambil aset negeri Kedah dalam bentuk tanah, saya sendiri boleh beli tanah berkenaan. Malah, tidak perlu saya hendak beli tanah di Kedah, saya boleh beli tanah di Selangor,” jelasnya.

Sebelum ini, ada laporan mengatakan kawasan seluas kira-kira 60 hektar di Jabi, dekat Pokok Sena adalah antara permintaan Aliff bersama beberapa syarat lagi yang menjadi punca tajaan RM30 jutaan D’Herbs terpaksa ditolak KFA.

No comments:

Post a Comment