Sunday, May 15, 2016

Selangor rekod permohonan MyDeposit tertinggi

Sinar Harian
Selangor rekod permohonan MyDeposit tertinggi
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima 3,609 permohonan lengkap Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) daripada 13,594 permohonan yang dihantar sehingga 30 April lepas.  
  
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perumahan Negara KPKT, Rohani Omar berkata jumlah permohonan lengkap itu masih belum mencukupi berbanding sasaran jumlah permohonan lengkap iaitu 6,000 hingga 7,000 pemohon sebelum tarikh tutup permohonannya pada 30 Jun ini.    

"Permohonan lengkap bermaksud pemohon harus menyediakan semua dokumen wajib yang diminta serta memenuhi syarat memohon agar ia dapat diproses dengan segera seterusnya melayakkan mereka menerima bantuan MyDeposit ini," katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Setempat 'Pemilikan Rumah di Kuala Lumpur: Antara Harapan dan Realiti', di sini malam tadi.    

Beliau turut menyeru orang ramai yang masih tidak mempunyai kediaman sendiri agar segera memohon MyDeposit melalui sistem laman web KPKT memandangkan ia berkonsepkan 'siapa cepat dia dapat'.    

"Melalui MyDeposit ini, mereka tidak perlu bersusah payah menyimpan wang yang banyak untuk bayar kos deposit rumah (melainkan rumah mahal) kerana deposit akan diberikan tanpa perlu dibayar semula dan hanya perlu membuat pembayaran bulanan pinjaman bank sahaja.

"Berbanding dengan skim perumahan kerajaan yang lain, MyDeposit membenarkan pemohon bebas memilih jenis dan lokasi kediaman mengikut kehendak dan cita rasa masing-masing," katanya.    
Rohani berkata keputusan bagi kumpulan pertama yang berjaya menerima bantuan MyDeposit itu akan diumumkan minggu depan melalui laman web KPKT dan surat bertulis. 
   
Katanya, sehingga kini, negeri yang mencatatkan jumlah permohonan MyDeposit tertinggi ialah Selangor iaitu sebanyak 941 permohonan, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 462.  
  
MyDeposit adalah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2016 lalu bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) daripada RM3,000 hingga RM10,000 dan belum memiliki kediaman sendiri.    

Melalui peruntukan RM200 juta bagi MyDeposit ini, sebanyak 10 peratus bantuan deposit akan diberikan kepada pemohon yang berjaya, dengan syarat rumah berkenaan tidak boleh dijual dalam jangka masa 10 tahun selepas Perjanjian Jual Beli ditandatangani. - Bernama

No comments:

Post a Comment