Thursday, June 23, 2016

BN boleh menang kerana Pas serangan kami’

suhaizan-kaiat
SHAH ALAM – BN boleh berasa selesa dengan strategi memecahkan undi pembangkang dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini kerana pihak itu dan Pas kurang berbalas serangan.

Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya lebih banyak menangkis serangan dua penjuru daripada BN dan Pas.

“Jentera BN dan Pas sangat kurang berbalas serangan. Sebaliknya serangan hanya ditumpukan kepada Amanah sahaja.  Hanya Amanah mewakili Pakatan Harapan mendapat serangan daripada dua penjuru BN dan Pas.

“Model PRK ini telah menguntungkan BN dan boleh memberi kemenangan berganda kepada BN dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum 14),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, rakyat pro pembangkang akan bosan untuk mengundi barisan pembangkang jika tiada usaha menyatukan barisan pembangkang bagi mewujudkan formula pertandingan satu lawan satu sebelum PRU14.

“Pembangkang bakal mengalami kekalahan yang teruk sekiranya ia terus berlaku pada PRU14 nanti.“Malah terdapat pengundi muda Cina yang tidak mahu pulang mengundi kerana beranggapan PRK tidak boleh mengubah kerajaan. Terdapat segelintir mereka yang kecewa dengan pertembungan barisan pembangkang,” katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  ketika ditemui pada sidang media sebuah program awal Jun lalu pernah mengatakan pertembungan lebih daripada satu lawan satu di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar  akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang.

Kata beliau lagi, keadaan itu juga sekaligus membuka peluang kemenangan buat BN di kedua kawasan.

Pada 18 Jun lalu, negara menyaksikan calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid memenangi PRK Parlimen itu selepas menewaskan tiga pencabar lain.
Manakala Parlimen Sungai Besar pula kekal milik BN selepas calonnya, Budiman Mohd Zohdi diumumkan memenangi PRK Sungai Besar.

Dalam pertembungan yang melibatkan tiga penjuru itu, Budiman berjaya menumpaskan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur dan calonl Pas, Dr Abdul Rani Othman.

No comments:

Post a Comment