Kuasa tanpa imbang periksa akan bertukar menjadi perkakas penindasan
dan kezaliman, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali.
Dan timbalan presiden PKR menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak bertindak melangkaui sempadan salahguna kuasa apabila memulakan
dakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, Azmin menggesa pembangkang yang berpecah-belah untuk merapatkan barisan.
“Pembangkang kini perlu bersatu dan kekal fokus kepada perjuangan tunggal kita.
“Kita mahu bersihkan pertiwi ini daripada wabak rasuah di peringkat
tertinggi, salah guna kuasa yang tidak terbendung serta bebas daripada
cengkaman sekumpulan elit yang berterusan menjarah sumber negara demi
memuaskan tembolok nafsu mereka.
“Kini masanya untuk kita mengenepikan prejudis dan perbezaan pada masa lalu dan kembali mengatur langkah bersama.
“Kita wajib membulatkan muafakat, jauh lebih teguh dari sebelum ini,
dan bersama membina blok pembangkang yang kuat untuk pilihan raya umum
akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Mengenai pertuduhan rasuah terhadap Lim, pemimpin PKR itu berkata ia
menandakan bermulanya satu era baru politik kotor lagi jijik tajaan Umno
BN sejak pendakwaan berniat jahat dan melampau terhadap Datuk Seri
Anwar Ibrahim hampir dua dekad lalu.
“Namun, pendakwaan dan penganiayaan terpilih terhadap Guan Eng hari ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan kita.
“Ia sudah dapat dijangka apabila mengambil kira kempen berlarutan
melibatkan cercaan dan pembunuhan watak oleh pentadbiran Najib terhadap
rakan seperjuangan saya Lim Guan Eng.
“Pendakwaan hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan
terancang seorang individu terdesak yang untuk terus bergayut pada dahan
kekuasaan dengan menggunakan apa-apa cara sekali pun.
“Individu ini tergamak mengheret negara kita bergelumang dalam
keaiban dan skandal semata-mata kerana ingin terus kekal menjadi perdana
menteri,” katanya.
Azmin berkata memang benar, Najib mempunyai kuasa terhadap semua
perkakas kuasa - yang kini sama sekali tiada imbang periksa sebaik
sahaja Akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan.
Namun, beliau harus beringat yang sejarah membuktikan bahawa
diktator-diktator dengan kuasa yang tidak terbatas sekali pun pernah
tersungkur apabila rakyat bangkit menumbangkan mereka.
Menteri besar itu juga menyifatkan tuduhan terhadap Lim sebagai
bermotifkan politik, berniat jahat dan satu bentuk salahguna kuasa
eksekutif secara terang-terangan.
“Tuduhan ini dipalitkan kepadanya sewaktu lambakan bukti rasuah,
penggubahan wang haram dan salahguna kuasa terhadap Najib tidak langsung
membuahkan sebarang siasatan serius dan bersungguh-sungguh apatah lagi
membawa kepada pendakwaan jenayah.
“Kita juga harus ingat bahawa Lim belum bersalah selagi belum
dibuktikan bersalah melampaui secebis keraguan sekalipun seperti
diperuntukkan undang-undang.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya bukan semata-mata bersangka baik
terhadapnya. Tetapi, saya juga amat yakin yang beliau tidak bersalah
sama sekali dalam tuduhan ini.
"Jangan kita lupa, Lim tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di luar bayangan keraguan oleh mahkamah undang-undang.
“Saya juga yakin jika perbicaraan ini bebas daripada campur tangan
eksekutif dan kehakimannya tidak tunduk kepada sebarang tekanan secara
langsung ataupun tidak langsung, Lim pastinya akan dibebaskan dan nama
baiknya dibersihkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment