29/6/16
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengesahkan anaknya, Lim Guan
Eng
yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang ditahan oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo yang didakwa
di bawah harga pasaran.
Dalam satu tweet, katanya, setiausaha agung DAP itu akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.
Lim dilaporkan sedang dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan
akan bermalam di sana sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Georgetown
esok.
Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.
Pertuduhan pertama berkaitan dengan dakwaan salah menggunakan kuasa
dengan menukar status tanah Taman Manggis daripada pertanian kepada
komersial, dan dakwaan kedua pula berhubung memperolehi banglo berkenaan
di bawah harga pasaran.
Menurut exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow, Majlis Bandaraya Pulau
Pinang telah menolak permohonan untuk menukar status tanah tersebut.
Laporan media juga mendakwa ahli perniagaan Phang Li Khoon, yang
menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta itu juga telah
ditangkap.
Sejak petang tadi, beberapa kenderaan polis juga dilaporkan menunggu
di luar bangunan itu di mana Lim sebelum ini mempengerusikan mesyuarat
exco mingguan.
Penyokong dan pemimpin DAP mula berkumpul di tingkat 28 manakala aktivis PERKASA menunggu di tingkat bawah.
Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya
menuduh beliau membeli sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga
pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di
Taman Manggis kepada pemaju swasta.
Lim bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dan berkata tanah
berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan
oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan
persekutuan.
Menurut Kanun Keseksaan, membeli hartanah di bawah nilai pasaran dianggap satu kesalahan bagi seorang penjawat awam.
Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pernah dipenjarakan selama setahun bagi kesalahan yang sama.
Lim telah menafikan sekeras-kerasnya berhubung sebarang salah laku.
No comments:
Post a Comment