Sinar Harian
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tan Sri Abu Kassim Mohammad
menegaskan, tiada tekanan daripada mana-mana pihak untuk beliau
memendekkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berakhir pada 4
Disember 2018.
Sebaliknya ia merupakan permohonan kali ketiga dibuatnya bagi
mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya dan kali ini diluluskan oleh
kerajaan, katanya.
"Ini (permohonan) adalah atas permintaan saya. Saya telah menyatakan
dalam kenyataan yang lepas-lepas, saya tidak akan bertindak mengundurkan
diri atas mana-mana tekanan. Ini adalah jelas, berkali-kali saya
nyatakan.
"Permintaan ini adalah atas kehendak saya terutamanya apabila saya
mendapat peluang untuk memberi sumbangan di peringkat antarabangsa yang
boleh meningkatkan nama Malaysia dan SPRM ke tahap lebih tinggi.
"Ini adalah satu peluang keemasan yang dapat membantu saya dan negara.
Saya tidak boleh menolak begitu sahaja," katanya pada sidang media khas
di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari
ini memaklumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan
sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dimohonnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: KSN sah Abu Kassim tamat perkhidmatan mulai 1 Ogos]
Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan
permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan
memberi sebulan notis, katanya.
Abu Kassim turut menjelaskan antara sebab beliau mempercepatkan
penamatan tempoh kontraknya adalah kerana menerima tawaran daripada
International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di
Universiti Pencegahan Rasuah di Austria, di bawah tajaan Pertubuhan
Bangsa Bersatu.
Katanya beliau juga akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pensyarah,
penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara
(UiTM).
"Saya akan terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020," kata Abu Kassim.
Abu Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Jan
2010, berkata beliau berpuas hati dengan semua siasatan SPRM, termasuk
kes berprofil tinggi, sepanjang enam tahun perkhidmatannya.
Beliau juga berpuas hati dengan transformasi yang dijalankan suruhanjaya itu.
"Dengan kerjasama daripada pegawai-pegawai SPRM, transformasi yang
dilaksanakan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana
kaedah-kaedah yang digunakan membentuk perubahan jelas di dalam cara
kerja agensi pencegahan rasuah di negara ini," katanya.
Apabila ditanya penggantinya, Abu Kassim berkata berdasarkan Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Ketua
Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri.
"Sesiapa yang layak, sesuai, dan baik untuk organisasi ini akan dilantik," katanya.
Apabila diminta memberi nasihat kepada bakal penggantinya, beliau berkata: “Buat kerja betul-betul”.
Sementara itu, Abu Kassim menafikan bahawa terdapat pegawai SPRM yang
akan bersara atau meninggalkan agensi itu bersama-sama beliau.
"Yang terdekat bersara wajib ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull pada 3 Oktober ini.
"Shukri akan menghadiri kursus bermula hujung bulan Julai sehingga
tamat tempohnya. Selalunya, pegawai-pegawai kerajaan akan menghadiri
kursus yang dapat membantu mereka masa persaraan," katanya.
Abu Kassim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan
Seri Paduka terhadap permohonan mempercepatkan penamatan kontraknya
sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan atas kepercayaan yang
diberikan dalam melaksanakan amanah sepanjang enam tahun menerajui SPRM.
Abu Kassim yang berkhidmat di SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR -
sebelum 1 Januari 2009) selama 32 tahun memegang pelbagai jawatan dalam
SPRM termasuk sebagai pegawai penyiasat, Pengarah Bahagian Dasar,
Penyelidikan dan Perancangan, Pengarah BPR negeri dan Pengarah Akademi
Pencegahan Rasuah Malaysia.
Selain bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti pencegahan rasuah, Abu
Kassim merupakan ahli kumpulan pakar INTERPOL berkaitan dengan rasuah
(IGEC) sejak tahun 1997.
Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan kod etika penguatkuasaan
undang-undang, Panduan Amalan Terbaik bagi ahli INTERPOL dan Standard
Global untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan polis.
Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim menduduki tempat keempat dalam
senarai antara 100 orang yang berpengaruh dalam etika perniagaan bagi
tahun 2010, indeks yang dikeluarkan oleh Ethisphere Institute,
berpangkalan di New York. - Bernama
No comments:
Post a Comment