Saturday, June 25, 2016

Tak salah bagi gula-gula politik: Datuk Dr Shamsul

Sinar Harian
Shamsul Amri Baharuddin
PUTRAJAYA - Adat pemberian gula-gula politik dari BN terutamanya dalam siri kempen pilihan raya ialah berlandaskan kepada kemampuan dan habuan itu adalah relevan.

Timbalan Pengerusi MPN, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM 3 juta untuk pembangunan setiap kawasan dengan tujuan membaik pulih dan menaik taraf keperluan rakyat.

“Jadi setiap kali turun berkempen mereka umum dan luluskan peruntukan daripada jumlah itu malah jika dicampur dengan bajet disalur kepada kawasan Parlimen dan Dun ia mencecah RM10 juta. Sebab itu wakil rakyat BN senang-senang saja lulus.

“Gula-gula itu biasanya bina atau naik taraf sekolah, stesen bas, turap jalan ke masjid tanpa perlu tunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan, duit itulah mereka guna untuk penuhi kehendak penduduk setempat,” katanya ketika sidang media selepas perbincangan meja bulat pengundi ‘Transformasi Pengundi Malaysia menjelang PRU 14,’ di Kementerian Pengajian Tinggi, hari ini.

Beliau menyifatkan insentif kerajaan itu tidak salah dan normal dalam setiap gerak kerja kempen pilihan raya.
“Pembangkang tak ada apa nak bagi gula-gula. Lagipun rakyat pun tunggu dan tagih gula-gula itu, parti dan ahli politik pun memang nak bagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, mana- mana pihak dibenarkan memberi gula-gula untuk meraih undi.
“Kerajaan Selangor kalau nak bagi (gula-gula) pun boleh sebab mereka mampu. Biasalah PRK kawasan tumpuan sebab itu orang ramai datang bagi ‘goodies’,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat tetap menilai  track record sepanjang pemerintahan lima tahun itu bukannya hanya mengharapkan gula-gula.

1 comment:

  1. Ada kita dengar mereka ini komen skandal Najib 1MDB? Faham-faham ajelah, mereka pun nak cari makan macam Hasan PAC tu.

    ReplyDelete