Kenyataan itu menuntut sebuah pakatan pembangkang
bagi mempertahankan kerajaan negeri menerusi persetujuan satu lawan satu
pada PRU akan datang.
PETALING JAYA: Tindakan 13 wakil rakyat PAS Selangor menghantar
memorandum kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan
sokongan terhadap seruan “gencatan serangan” antara pembangkang
menunjukkan mereka serius mempertahankan kerajaan Selangor.
Adun Meru Dr Abdul Rani Osman yang turut menandatangani memorandum
tersebut berkata, harapan mereka agar PAS mencapai persetujuan “satu
lawan satu” dengan parti pembangkang bagi melawan Barisan Nasional (BN)
pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Dan ini bukan harapan kita sahaja, tetapi juga DAP dan PKR. Pilihan
raya kecil (PRK) Sungai Besar (dan Kuala Kangsar) membuktikan
pertembungan tiga penjuru hanya memenangkan BN,” katanya.
Bekas calon PAS pada PRK Sungai Besar itu berkata PAS serius dalam
mempertahankan Selangor daripada dirampas BN pada PRU akan datang.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Hadi dan akan disusuli dengan pertemuan.
Semalam, 13 wakil rakyat PAS menyatakan sokongan terbuka terhadap
seruan damai oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
terhadap semua parti pembangkang.
Kenyataan tersebut menuntut sebuah “pakatan pembangkang” bagi
mempertahankan kerajaan negeri dengan syarat setiap parti saling
menghormati prinsip masing-masing.
Dalam pada itu, Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman berkata selain
sokongan kepada Tuan Ibrahim, memorandum tersebut juga menggesa ke arah
menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.
“Kita minta parti politik fokus kepada usaha mempertahankan kerajaan negeri serta menumbangkan Umno dan BN di Putrajaya.
Sementara itu, langkah Adun PAS itu menerima pujian Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebagai sesuatu yang “berani”.
“Demi Malaysia dan rakyat yang mengharapkan perubahan pada masa depan
negara gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang dan
kembali kepada meja perundingan dan bukannya terus kekal dengan
perbalahan adalah satu keperluan,” katanya menerusi kenyataan hari ini
No comments:
Post a Comment