Monday, July 4, 2016

Husam: PAS bakal kalah di Kelantan, hilang semua kerusi Selangor

 | July 3, 2016
Bekas naib presiden PAS itu berkata tidak perlu penganalisa profesional untuk membuat rumusan itu.
husam 1
PETALING JAYA: Datuk Husam Musa berkata PAS “tentu akan jatuh” di Kelantan sementara di Selangor, kesemua 15 kerusi negeri yang disandangnya akan turut hilang.
Bekas naib presiden PAS yang pernah menjawat Exco kanan Kelantan itu berkata keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga membuktikan PAS tidak lagi berpeluang menang di kerusi campuran dan “marginal” kawasan majoriti Melayu.

“Di Selangor, kesemua 15 kerusi akan jatuh dan kalau Datuk Iskandar masih mahu jadi wakil rakyat selepas PRU ke 14 beliau perlu berhijrah ke mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya merujuk Adun Chempaka dan Exco Selangor mewakili PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, seperti dipetik portal berita Amanah, Malaysia Dateline, hari ini.

Husam, yang dipecat oleh PAS pada April lalu, berkata demikian ketika berucap pada majlis “makan colek” (jamuan selepas berbuka puasa) anjuran Amanah Kelantan, semalam.
Menurutnya, ahli Dewan Undangan Negeri popular PAS seperti Dr Abdul Rani Osman (Meru) akan turut menerima tempias kekalahan pada pilihan raya akan datang.

Husam berkata kekalahan PAS di Kelantan dan Selangor adalah sesuatu yang pasti berlaku berikutan perubahan hala tuju parti itu di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kepimpinan PAS dilihat mula bertukar arah dan lebih mesra Umno selepas muktamar tahun lalu yang menyaksikan kebangkitan puak konservatif menyokong Hadi.

Susulan itu, PAS memutuskan hubungan dengan DAP, dan tidak menyertai Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP dan Amanah yang diterajui bekas pemimpin parti Islam itu.
Husam turut menafikan beliau mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

“Tuduhan saya berusaha jatuhkan kerajaan Kelantan tidak benar sama sekali kerana kerajaan ini (Kelantan) tentu akan jatuh hasil pilihan presiden Pas sendiri untuk kembali ke zaman Pas tidak menang dulu,” kata Husam

Katanya, tidak perlu penganalisa profesional untuk menjangkakan PAS kalah di Kelantan.
“Yang menjadi isu sekarang, kerajaan PAS yang akan kalah ini akan diganti oleh siapa,” ujar beliau.

1 comment:

  1. Alaa Huse oooi...masuk jer lah Parti PAN Imayam....lagi pun demo yakin sangat PAS ake kaloh!

    ReplyDelete