Sunday, July 24, 2016

Ibu kehilangan anak kedua akibat difteria

Sinar Harian
Ibu kehilangan anak kedua akibat difteria
Muhammad Rusyaidi Rezki
SUNGAI PETANI – Seorang bayi yang sebelum ini disahkan menghidap difteria, Muhammad Rusyaidi Rezki, 11 bulan meninggal dunia awal pagi tadi selepas 33 hari pemergian abangnya, Muhammad Haris Haikal, 2, pada 22 Jun lalu.
Anak kepada Zalifah Hussin, 40, itu meninggal dunia di Flat Paya Nahu di sini kira-kira 2 pagi.

Mangsa yang sebelum ini dilaporkan kritikal dirujuk ke Hospital Sutanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan mendapat pemerhatian doktor selama 23 hari di sana.

Selepas keadaannya stabil, Muhammad Rusyaidi Rezki dipindahkan semula ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan berada bawah pemerhatian doktor selama 7 hari.

Dia yang difahamkan telah sembuh dari difteria baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah tiga hari lalu.

Bagaimanapun, keadaannya yang lesu dan tidak bermaya menyebabkan ahli keluarga menghantarnya ke HSAH kira-kira jam 2.30 pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

"Dia sebelum ini kelihatan sihat dan ceria, walaupun berat badannya agak menyusut. Kira-kira pukul 2 pagi tadi, saya kejutkan dia untuk diberi susu, namun dia tidak memberi tindak balas.
  
"Lalu saya minta anak sulung saya tolong bawa adiknya ke hospital di mana doktor sahkan anak saya sudah meninggal dunia," kata Zalifah yang dipetik laporan Bernama.

Bedah siasat telah dijalankan oleh pakar forensik HSB lebih kurang jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam 1 petang sebelum jenazah dibawa pulang ke rumahnya dekat Flat Paya Nahu, Sungai Petani untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak dua tahun meninggal dunia akibat diserang virus difteria.

No comments:

Post a Comment