Sunday, July 24, 2016

Perhimpunan Baju Merah, provokatif, tidak berbaloi – pensyarah USM

 FMT| July 24, 2016
Ahmad Atory merujuk kepada Perhimpunan Baju Merah yang dianggapnya bertentangan dengan keamanan yang telah dibina sejak bertahun-tahun di Malaysia.
Prof-Dr-Ahmad-Atory-Hussain
PETALING JAYA: Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menggesa kerajaan untuk melarang mana-mana perhimpunan berunsur provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Prof Dr Ahmad Atory Hussain merujuk kepada Perhimpunan Baju Merah yang dianggapnya bertentangan dengan keamanan yang telah dibina sejak bertahun-tahun di Malaysia.

“Semua orang mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan. Ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi, tetapi perhimpunan seperti ini, kadang-kala agak keterlaluan sehingga menyebabkan ketegangan sesama kita.
“Ia boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan di Malaysia. Ini bukan cara Melayu. Kita bukan orang Arab. Cara dan budaya kita berbeza.

“Apabila sesuatu perhimpunan dibenarkan, keselamatan harus dijamin,” katanya kepada FMT ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang mencabar mahu “turun padang” jika Bersih 5 mengadakan perhimpunan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Jamal dan kumpulan Baju Merahnya dilihat sebagai perhimpunan perkauman provokatif.

Pertama kali perhimpunan Baju Merah dianjurkan pada 16 Sep lalu, polis dikerah untuk menghentikan peserta perhimpunan memasuki China Town bagi mengelak sebarang rusuhan.

Bersih, merujuk kepada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil adalah gerakan masyarakat umum yang terdiri daripada 84 pertubuhan bukan kerajaan menyuarakan perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihan raya di Malaysia.
Mereka telah mengadakan empat perhimpunan setakat ini.
Tambahnya, berbeza dengan Bersih kerana ia mengikut undang-undang dan telah terbukti aman.

Ahmad Atory juga menasihatkan Jamal untuk bersabar dan mungkin boleh menganjurkan perhimpunan aman jika mereka tidak berpuas hati dengan parti baru yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang yang lain.

“Negara ini perlu bersabar. Jamal perlu bersabar. Malaysia di tengah-tengah dilema antara orang yang menyokong dan menentang parti pemerintah. Perhimpunan boleh membawa ketegangan dan bukan jawapan kepada dilema yang dihadapi.

“Pemimpin datang dan pergi tetapi perhimpunan tidak boleh dilakukan mengorbankan keamanan sesebuah negara,” katanya.
Tags: Ahmad Atory, Bersih, Baju Merah, provokatif, Mahathir Mohamad, Najib Razak

No comments:

Post a Comment