Friday, July 8, 2016

Kedutaan AS nasihat rakyatnya berhati-hati di Malaysia

 | July 7, 2016
Kedutaan AS bagaimanapun mengaku tidak mengetahui sebarang ancaman khusus pengganas ke atas rakyat Amerika di Malaysia.
movida_us_isis_600
PETALING JAYA: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengingatkan rakyatnya yang berada di Malaysia supaya berwaspada terhadap keselamatan diri susulan serangan berkaitan IS ke atas sebuah pusat hiburan di Puchong minggu lalu.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan pengganas pada masa lalu merancang melancarkan serangan seiring tarikh penting dalam kalendar.

Bagaimanapun, ia mengaku tidak mengetahui sebarang ancaman khusus pengganas ke atas rakyat Amerika Syarikat di Malaysia.
“Rakyat Amerika perlu sentiasa berhati-hati setiap masa ketika melancong.

“Rakyat Amerika di luar negara mungkin disasarkan kumpulan-kumpulan pelampau tidak kira di negara mana mereka berada,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu turut menggesa rakyatnya mengkaji semula pelan keselamatan peribadi, sentiasa berwaspada terhadap persekitaran mereka dan mendapatkan maklumat terkini melalui media tempatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan letupan bom di pusat hiburan Movida di Puchong bulan lalu adalah serangan pertama IS di negara ini.
Serangan pada awal pagi 28 Jun lalu itu mencederakan lapan pengunjung yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 di bahagian luar premis berkenaan.

IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas tempat-tempat yang menggalakkan aktiviti maksiat pada bulan Ramadan.
Susulan itu, dua lelaki ditahan pada 1 Julai lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Pelabuhan Klang yang disyaki bertanggungjawab melontar bom tangan ke premis itu, manakala seorang lagi suspek berusia 33 tahun, Jasanizam Rosni dilaporkan ditahan di sekitar Batu Pahat, Johor pada petang kelmarin.

Seorang lagi suspek diburu polis, Md Saifuddin Muji, 28, yang dipercayai bersubahat melancarkan serangan ke atas pusat hiburan Movida minggu lalu, dipercayai masih berada di selatan Semenanjung dan dia dikatakan membawa bersamanya bom tangan

No comments:

Post a Comment