Saturday, July 16, 2016

Lagi baik pemain kampung, veteran bidas pemain JDT

 FMT| July 16, 2016
Seorang veteran mahu FAM 'gam' pemain bersara daripada skuad kebangsaan, manakala bekas jurulatih Dollah Salleh 'letih' mahu memberi komen.
dollah
PETALING JAYA: Bekas bintang bolasepak kebangsaan, Khalid Ali membidas tindakan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) meninggalkan skuad kebangsaan sebagai perbuatan tidak patriotik.

Khalid yang pernah terlibat dengan pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 itu menyifatkan empat pemain JDT itu langsung tidak mempunyai semangat patriotisme dan menambah mereka lebih teruk daripada “pemain kampung”.
“Tidak ada semangat langsung. Pemain kampung lebih baik daripada mereka. Saya langsung tak hormati mereka.

“Jangan sebut nama mereka depan saya. Pada saya mereka telah dikuburkan. Saya langsung tidak menghormati. Jika saya jumpa mereka, saya tidak akan pandang mereka,” katanya kecewa dengan tindakan empat pemain JDT yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.

Pemain JDT Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal mengumumkan persaraan mereka daripada skuad kebangsaan dengan alasan mahu memberi peluang kepada pemain muda.

Persaraan mereka dikatakan berkait dengan kritikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.

Tunku Mahkota Johor itu turut mendakwa FAM gagal memelihara kebajikan pemain.
“FAM lakukan apa yang biasa mereka lakukan iaitu mengabaikan mereka. Sama seperti bagaimana mereka mengabaikan kelab dan penyokong bola sepak di seluruh negara selama 30 tahun,” katanya.
Khalid turut meminta agar FAM menyenarai hitamkan mana-mana pemain yang ingin bersara daripada skuad kebangsaan selepas ini.

Katanya, sekiranya FAM mengambil kembali pemain yang bersara itu, dia akan menjadi orang yang pertama menentang badan bola sepak Malaysia itu.
“Saya katakan kepada FAM kalau FAM ambil pemain yang bersara sekarang ini, saya kata saya akan mengutuk FAM sedalam-dalamnya. Lupakan mereka semua ini. Jangan kita pandang lagi pemain-pemain yang telah bersara. Kita senarai hitamkan mereka.
“Biar mereka bersendirian. Itu cara paling baik nak ajar orang yang nak membunuh bola sepak dalam negara kita,” katanya kepada FMT.

Bekas pemain Selangor itu turut menyarankan agar pemain JDT yang ingin bersara meneruskan niat mereka secara besar-besaran dan menasihatkan agar pemain kebangsaan yang dipilih nanti bekerja keras dan buat yang terbaik.
“Saya nasihatkan pemain JDT yang nak bersara sekarang ini buat besar-besaran sekarang. Pemain yang ambil alih bekerja keras. Ini satu pengorbanan pada negara. Kami dibelakang masih menyokong,” katanya.

Dollah Salleh: Saya letih
Sementara itu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh, yang merupakan jurulatih pasukan Perlis masa ini enggan mengulas lanjut tindakan empat pemain JDT itu.
Katanya, ini disebabkan dia sudah letih dengan perkara yang berlaku dalam skuad kebangsaan.
“Saya tak nak komen. Saya sudah letih dengan semua ini,” katanya kepada FMT

2 comments: