Saturday, July 16, 2016

RM130 harga tiket tayangan perdana filem Kabali?

FMT | July 16, 2016
Khabar angin atau benar, saya tidak pasti tetapi maklumat tentang tiket tayangan perdana filem Kabali pada harga RM130 sedang giat dikongsi dalam laman-laman sosial.
KOMEN
Kabali
Sanggupkah anda bayar RM130 untuk sekeping (seorang) tiket pawagam menonton filem Kabali?
Itu persoalan yang saya utarakan dalam laman sosial Facebook untuk melihat berapa ramai daripada rakan dan kenalan sanggup membayar wang tersebut.
Maklumlah, ramai kenalan dan rakan saya ‘die hard fan’ dan bermati-matian mengikut segala info terkini mengenai hero Kabali, Superstar Rajinikanth!

Mereka adalah antara orang yang sanggup berbuat apa saja untuk berjumpa hero pujaan selain membelikan beliau pelbagai hadiah dan cenderahati. Mereka antara beribu orang yang sanggup tunggu di luar hotel penginapannya di Jalan Sultan Ismail untuk melambai dan melihatnya secara bersemuka ketika beliau berada di Malaysia untuk penggambaran filem itu.

“Saya sangat gembira hari ini kerana dapat bergambar dengan hero saya!” kata seorang rakan menayang fotonya di Facebook. Rupanya ia gambar selfie berlatarkan set penggambaran Kabali dan dia antara beratus orang dalam foto itu.
Nampak tak riaknya menjadi ‘die hard fan’ Rajinikanth.

Tak salah menjadi ‘die hard fan’. Itu hak mereka, pelakon yang mereka puja, senang cakap, suka hati mereka.
Saya tidak pernah mempersoalkan malah terpegun melihat aura lelaki yang suatu masa dulu hanyalah konduktor bas dan kuli.

Kini lelaki yang pernah berlakon dalam filem Shivaji The Boss, Padayaapa, Basha dan sebagainya bukan saja berpengaruh di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Untunglah Rajinikanth memiliki peminat luar biasa dan bertuah juga peminatnya kerana Rajinikanth juga dikatakan sanggup melayan karenah peminatnya semampu yang boleh. Itu baru kualiti hero antarabangsa!
Namun, persoalan jika mereka sanggup bayar sejumlah besar wang untuk tayangan perdana tidak mendapat sambutan.

Daripada lebih 30 orang yang menjawab, hanya seorang bersedia membayar jumlah itu, yang lain lebih rela tunggu hari keesokan, memilih menggunakan duit itu untuk makan dan membeli barangan persendirian, menderma, beli buku dan sebagainya.
Serius, sungguh berhati mulia kawan-kawan saya dan sungguh rasional pemikiran mereka. Saya salut pilihan mereka untuk tidak merugikan wang. Namun, ada di antara mereka yang mengaku tidak mengapa membayar jumlah banyak demi pelakon pujaan.

Manakala ini respons ‘win’ daripada seorang lagi rakan, Sri. Dia menyoal apa kesannya pada masa akan datang jika trend seperti ini disokong.
“Mengapa sokong trend ini? Ya, saya mahu menonton tayangan pertama (perdana) tetapi mengapa perlu bayar begitu banyak? Malah Rajinikanth sendiri tidak akan menggalak peminatnya membazir, lebih baik berjimat. Hanya orang tertentu akan mengambil kesempatan dan menjadikannya satu trend,” kata Sri.

Yang lain-lain tidak kisah menonton pada tayangan kedua dan seterusnya memandangkan harga itu terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Sebenarnya, isu harga tiket RM130 tayangan perdana Kabali di sebuah pawagam di dalam pusat beli-belah di Jalan Imbi, Kuala Lumpur timbul selepas saya menerima perkongsian dalam kumpulan Whatsapp tentang tawaran itu.
“Siapa boleh dapat tiket Kabali, tolonglah dapatkan untuk saya sekali,” tulis seorang kawan dalam kumpulan itu.

Dan ia diikuti perkongsian gambar poster tertulis harga tiket RM130 untuk tayangan perdana berserta cenderamata kemeja T dan poster Kabali kepada pembeli.
“Kalau nak bagi tahu. Kawan saya jual, tiket tayangan perdana, special eksklusif punya. First show….” kata seorang lagi rakan dalam kumpulan yang sama.

Sekadar mahu tahu kesahihan, saya pun menghubungi nombor pihak yang dinamakan dalam poster itu. Wanita yang melayan panggilan saya menjamin tiket akan diedarkan pada hari pertama sebaik saya hantar maklumat serta buat bayaran penuh.

“Anda boleh collect tiket di pawagam pada hari tayangan,” kata wanita yang saya hubungi.
Demi double confirm, saya juga hubungi pihak kedua yang syarikatnya turut tertera sebagai rakan kerjasama.
Namun, petang tadi syarikat pawagam Golden Screen Cinemas mengeluarkan memo menyatakan pihaknya tidak menjual sebarang tiket tayangan perdana mahupun tiket filem Kabali kepada umum. “Kami juga tidak disahkan tentang sebarang tempahan untuk tayangan filem itu,” kata kenyataan itu lagi.

Mungkin ia sekadar gimik seperti mana yang biasa dilakukan untuk filem lain. Namun jika ya, filem ini melangkah beberapa tapak ke dwpan dengan melibatkan jualan tiket, walaupun terang-terang ia salah di sisi undang-undang. Mungkin…

Mujurlah, saya tidak membeli tiket itu (Memang saya tidak akan membeli pun), sebaliknya saya berharap, jika ia sekadar khabar angin atau ‘gimik’, usahlah bermain dengan duit orang.
Gimik pun, nanti anda (pihak yang membuat promosi) juga bermasalah kerana sebarang unsur yang melibatkan jual beli di negara ini banyak prosedur yang perlu diikuti termasuk GST.

Jika ia sekadar khabar angin, biarlah artikel ini menjadi eksperimen mengkaji kesanggupan peminat Rajinikanth membeli tiket pada harga mahal. Jika ia benar-benar wujud saya harap, eloklah ia ditarik balik dan wang dikembalikan. Usah menggunakan sentimen pelakon untuk mengaut wang.

No comments:

Post a Comment