Sunday, July 17, 2016

Parti baharu ibarat ‘sampah yang berkumpul’

 | July 16, 2016
Shahrir berpendapat, parti baharu itu mungkin boleh mencetuskan senario politik baru tetapi tidak mampu mengugat BN.
Tan Sri Shahrir Samad
PETALING JAYA: Parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas perdana menteri disifatkan “macam sampah yang berkumpul”.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad yang dipetik Oriental Daily sebagai berkata, DAP selama ini berusaha mencari “formula” untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, antara usaha itu termasuk bergabung dengan PKR pimpinan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2013 yang bakal berganding dengan parti baharu akan ditubuhkan tidak lama lagi.

“Kem pembangkang hanya oportunis, tiada prinsip dan ideologi politik. Penggabungan mereka macam sampah yang berkumpul, ia mempunyai arah tuju sama tetapi berasal daripada kategori sampah tidak sama,” katanya ketika menghadiri sebuah majlis rumah terbuka Hari Raya di Johor Bahru, hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan sebuah parti politik baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak semestinya mengetuai parti baharu itu yang akan membentuk pakatan pembangkang lebih besar untuk menawan Putrajaya pada PRU14.

Shahrir berpendapat, parti baharu itu mungkin boleh mencetuskan senario politik baru tetapi tidak mampu mengugat BN.
“Sejak Malaysia ditubuhkan sehingga kini, parti politik bergabung dan berpisah adalah norma biasa, seperti Pakatan Rakyat sebelum ini dan Pakatan Harapan sekarang, kini Dr Mahathir mungkin menyertai kem pembangkang,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pemerintah perlu mengamalkan prinsip sama kerana BN adalah sebuah parti berprinsip dan mempunyai ideologi politik, selain mementingkan keharmonian kaum dan menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat pelbagai lapisan.

“BN bukan sahaja mengambil berat (pembangunan) Semenanjung, malah menjaga Sabah dan Sarawak, BN akan terus berjuang dan mengekalkan prinsip sendiri, rakyat juga jelas dan memahami BN mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat dan memajukan negara,” katanya

No comments:

Post a Comment