Friday, July 15, 2016

Pengusaha teksi ugut sokong pembangkang kalau lulus Uber

 FMT| July 15, 2016
Kalau Uber diluluskan dan PSV dimansuhkan, ia bermakna perdana menteri mengkhianati industri teksi, kata persatuan.
Shamsubahrin-Ismail_teksi_bn_600
KUALA LUMPUR: Lebih 95% pemandu teksi seluruh negara akan menolak BN, pimpinan Datuk Seri Najib Razak jika kerajaan meluluskan perkhidmatan kereta sapu, Uber dan Grab serta menghapuskan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Ugutan itu dibuat Pengasas Teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail dan berkata pemandu teksi akan memulau kerajaan jika cadangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu diterima kerana ia akan merosakkan industri teksi.
“Pada PRU13 Najib cakap dia akan pertahankan dan tidak akan membelakangkan, atau khianat kedudukan pemandu dan industri teksi.

“Sekarang kalau Uber diluluskan dan PSV dimansuhkan, dia (Najib) mengkhianati industri teksi seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di KLCC hari ini.
Shamsubahrin berkata terdapat 75,000 pemandu teksi di seluruh negara dan beliau yakin 95% daripadanya tidak akan mengundi BN pada PRU14 jika Uber diluluskan dan PSV dihapuskan.

Beliau berkata pihaknya sudah letih menyerahkan memorandum kepada pihak terlibat namun tidak ada tindakan diambil, malah memandang remeh desakan industri teksi.
“Sekarang ini walaupun berpuluh-puluh memorandum kita hantar ia tidak berhasil. Jadi memorandum terbaik jika kerajaan melalui SPAD meluluskan Uber dan hapus PSV, adalah dengan menukar kerajaan,” katanya.

Katanya, pemandu teksi bukannya membantah Uber tetapi pelaksanaan perkhidmatan itu tidak sesuai dibuat pada masa ini kerana kerajaan melalui SPAD perlu melakukan transformasi kepada industri teksi terlebih dulu.

“Saya harap Najib tangguh dulu perkhidmatan Uber, kita betulkan industri teksi, turun padang tengok permasalahan industri teksi.
“SPAD juga perlu meningkatkan undang-undang ambil tindakan kepada pemandu teksi yang tidak berdisiplin menaikkan harga tambang, tidak patuh etika pemakaian dan sebagainya. Industri ini perlu ditransformasikan.

“Kita patut malu pada Indonesia, kita cakap teksi kita boleh ambil penumpang di tepi jalan itu dan ini, tapi caj mahal. Tetapi teksi Indonesia, walaupun pemandunya miskin dia tak tipu dan caj mahal,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan perkhidmatan uber di negara ini, dan terbaru SPAD akan memansuhkan lesen PSV pemandu teksi dan digantikan dengan sistem baharu bagi diseragamkan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Sistem baharu itu bertujuan memastikan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar dapat bersaing secara sihat dan memberi perkhidmatan paling efisien kepada penumpang

No comments:

Post a Comment