Saturday, July 2, 2016

Tun M: Kerajaan perlu sedia dikritik

Sinar Harian
Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Kerajaan hanya boleh mengambil tindakan sekiranya undang-undang negara ini benar-benar dicabuli, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Menurut Mahathir, namun begitu, tindakan yang diambil berkenaan seharusnya mengikut proses undang-undang dan bukannya hanya melalui keputusan yang diputuskan jawatankuasa parti.

“Kerajaan perlu bersedia untuk dikritik, dituduh salah laku. Hanya jika benar-benar undang-undang dicabuli maka bolehlah kerajaan mengambil tindakan," katanya menerusi blog Chedet.cc hari ini.

Beliau berkata, setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan tidak ada sebarang pengecualian atau keistimewaan buat mana-mana pihak yang berkuasa memandangkan proses keadilan perlu diikuti oleh semua.

Selain daripada itu, Mahathir memaklumkan bahawa apa yang dapat dilihat pada hari ini ialah orang didakwa mengamalkan rasuah dalam skala lebih kecil diambil tindakan terlebih dahulu berbanding individu yang membeli segala-galanya dengan wang dan menjadikan wang sebagai raja.

“Memang diakui proses undang-undang perlu dikenakan walaupun jenayah itu adalah kecil.

“Tetapi apabila jenayah besar dibenarkan bebas semata-mata kerana orang yang terlibat berkata dia tidak bersalah, maka kita perlu mempersoalkan sama ada undang-undang sama dipakai kepada semua,” katanya.

Mahathir berkata demikian dipercayai bagi merujuk kepada isu pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ditahan pada Rabu lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik habis mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Komtar.

Dalam pada itu, Mahahtir berkata, bagi mengamalkan demokrasi, terdapat pemisahan kuasa di antara perundangan, eksekutif dan badan kehakiman.

Menurut beliau, sebahagian daripada badan kehakiman negara ini sedang terjejas malah kewujudan pasukan polis bagi melindungi rakyat daripada penjenayah juga telah berubah dan mereka digunakan untuk mengganggu serta memberi tekanan kepada rakyat.

“Tugas Peguam Negara adalah untuk mendakwa dan tugas pula hakim untuk mengadili. Ia bukannya tugas Peguam Negara untuk mengadili,”katanya.

No comments:

Post a Comment