Friday, July 1, 2016

UK ada Brexit, Malaysia ada Umno-Exit

Sinar Harian
Rafidah Aziz
Rafidah Aziz
SHAH ALAM – Jika United Kingdom melalui peristiwa Brexit, Malaysia juga tidak ketinggalan dengan isu Umno-Exit, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Menurutnya, Umno secara berterusan telah melakukan ‘Umno-Exit’ dengan penyingkiran beberapa pemimpin parti itu di atas beberapa alasan yang digunakan.

“Umno dalam setengah abad lalu telah mengalami pelbagai peristiwa dan gegaran di mana setiap peristiwa telah menghakis kekuatan dan ketahanan parti terutama dengan semakin ramai anak-anak muda yang tidak kenal perjuangan parti di masa lalu.

“Namun kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa perpaduan dalam mana jua zaman dan era adalah kunci kepada kejayaan parti seterusnya,”katanya menerusi kemas kini status di laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, perpaduan tersebut pastinya akan terjejas apabila terdapat perpecahan parti mengikut kelompok dan kumpulan tertentu.

Beliau berkata, apabila kepelbagaian dan pendapat tidak dapat diterima, ia kini dianggap sebagai satu tentangan dari dalam parti.

“Setiap pemimpin mencuba sedaya upaya, untuk menunjukkan pemimpin yang satu lagi betul-betul hodoh dan buruk.

“Masing-masing menconteng arang kepada muka antara satu dengan yang lain, hingga setiap yang terlibat nampak begitu buruk dan hodoh kepada awam.

“Pasti ramai yang beranggapan bahawa tiada seorang pun pemimpin ‘yang betul’ dan menganggap ‘semuanya tak boleh pakai’ kerana para pemimpin sendiri yang mencaci dan memburukkan sesama sendiri,”katanya.

Menjelang sambutan Syawal ini, Rafidah turut menyarankan setiap pihak agar merenung kembali arah hala tuju parti bagi memupuk kekuatan dalam mewujudkan perpaduan yang sebenar.

Tambah beliau, penyelesaian tidak akan diperoleh dengan perbalahan dan dendam peribadi memandangkan ia hanya akan mengeruhkan serta mengusutkan keadaan.

“Kesetiaan mestilah kepada parti dan bukannya kepada mana-mana individu kerana pemimpin datang dan pergi tetapi parti mesti kekal. Hentikanlah perbalahan..carilah jalan penyatuan,”katanya.

No comments:

Post a Comment