28/7/16
Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim membayangkan
perkembangan parti pembangkang yang baru diperkenalkan oleh Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Zaid berkata, parti itu akan dianggotai kaum Melayu dan Bumiputera
serta diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,
yang berpotensi membuka jalan bagi beliau dilantik sebagai calon perdana
menteri baru pembangkang.
"Sebuah parti politik di negara ini boleh berdasarkan satu kumpulan
etnik selagi ia bukan rasis, berfikiran sempit dan melampau
dalam tindakannya.
"Apa yang kita perlukan adalah sebuah parti berasaskan Melayu yang
inklusif dan progresif, dan yang mempunyai semua ciri-ciri sebuah parti
masa depan," Zaid menulis dalam blog terbarunya.
Sebagai perdana menteri pilihan pembangkang, Muhyiddin akan mengisi kekosongan dalam kepimpinan Pakatan Harapan, kata Zaid.
Ini kerana parti-parti pembangkang pada masa ini tidak mempunyai seorang pemimpin yang mampu menyatukan mereka, katanya.
"Sebenarnya mereka fikir mereka cukup kuat untuk menyatukan
pembangkang dan mengekang kurangnya kepercayaan bersama yang telah
mencemari kerjasama mereka.
"Tetapi mereka tidak," katanya, memetik contoh konflik PKR dan DAP dalam mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.
Beliau mengulangi pendirian sebelum ini bahawa sekutu DAP itu perlu menyokong pilihan raya negeri seperti dicadangkan.
Satu lagi isu yang perlu ditangani ialah sama ada PAS harus
dibenarkan untuk menyertai semula pakatan pembangkang untuk mengelakkan
pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya, katanya.
"Jika pembangkang mempunyai pemimpin yang kuat maka pandangan beliau
perlu dalam keputusan yang sukar seperti ini. Jika tidak, pertelingkahan
akan berterusan," katanya.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan pada September tahun lepas mengumumkan
bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon untuk jawatan perdana
menteri, jika menang pilihan raya akan datang.
Muhyiddin, bersama-sama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir dipecat daripada Umno selepas kritikan tidak henti-henti
mereka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pagoh tersebut pada masa itu berkata, beliau masih
menimbangkan sama ada untuk menubuhkan sebuah platform politik baru atau
menyertai parti sedia ada
No comments:
Post a Comment