Malaysiakini 13/8/16
Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Abdul Razak hendaklah mengakui kesilapan yang pernah dilakukannya,
kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas timbalan Najib itu berkata, bekas bosnya itu tidak seharusnya
bertindak sebaliknya dengan berpura-pura kononnya semua dalam keadaan
baik.
"Presiden Umno terpalit dalam banyak skandal yang saya boleh katakan
mencecah perkadaran global, inilah yang menjadi keprihatinan setiap
rakyat Malaysia.
"Kamu sedang duduk di kerusi itu, jadi, menjadi tanggungjawab kamu untuk melindungi kepentingan negara," kata Muhyiddin lagi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen menderma darah di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, hari ini.
"Jika kamu hadapi masalah hari ini, kamu harus akui kesilapan yang
dibuat. Bukan lagi rahsia. Seluruh negara, seantero dunia tahu
mengenainya," ujar beliau lagi.
Kira-kira dua bulan yang lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno
memutuskan untuk memecat Muhyiddin bersama-sama bekas Menteri Besar
Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.
Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan berkenaan dicapai
sebulat suara.
Kata Najib, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak
pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu
perbuatan tidak bertanggungjawab.
Susulan pemecatan beliau, Muhyiddin dilihat terus aktif menentang
bekas bosnya itu dengan menyertai beberapa ceramah mengkritik Najib dan
Umno.
Terbaru, Muhyiddin mendaftar parti politik baru, Parti Pribumi
Bersatu Malaysia atau BERSATU yang menyasarkan untuk bertanding melawan
Umno dalam pilihan raya umum akan datang
No comments:
Post a Comment