Thursday, August 25, 2016

Amaran Ku Li, jangan ambil ringan kebolehan Bersatu

 | August 25, 2016
Veteran Umno itu berkata ini kerana parti yang menunggu pendaftaran rasmi itu dinaungi nama kuat politik negara.
Tengku-Razaleigh_muhyiddin_bersatu_600PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya tidak mengambil ringan kebolehan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunggu kelulusan permohonannya.

Ini kerana parti tersebut dinaungi nama kuat politik negara termasuk bekas perdana menteri selama 23 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tokoh yang masih disanjungi rakyat.
“Oleh itu, Bersatu mampu menjadi pencabar utama Umno pada PRU14 nanti,” kata Tengku Razaleigh atau Ku Li, yang pernah memimpin parti serpihan Umno, Semangat 46 pada tahun 1990-an, dipetik Sinar Harian hari ini.
“Amaran ini ditujukan kepada semua parti terutamanya Umno. Jangan ambil mudah kerana parti ini (Bersatu) boleh jadi gagah. Ini semua, lawan yang mahu mencabar kedudukan Umno.”

Peringatan Razaleigh itu dilihat senada dengan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin, yang baru-baru ini menasihati Umno tidak memandang enteng penubuhan parti serpihan yang menyasarkan penyokongnya.
Kuli menubuhkan Semangat 46 selepas perpecahan dalaman Umno susulan pertandingan jawatan presiden yang dimenang tipis Dr Mahathir ketika itu.

Semangat 46 disokong pemimpin puak “Team B” Umno pimpinan Ku Li, menjalinkan kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil lain, sehingga membawa kepada kejayaan Pas menjatuhkan pemerintahan Umno di Kelantan pada 1990.
Parti itu bagaimanapun dibubarkan pada 1996 selepas Ku Li menyertai semula Umno.

Pada 9 Ogos, Muhyiddin secara rasmi menyerahkan permohonan mendaftarkan Bersatu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Bekas timbalan presiden Umno itu yang digugurkan daripada Kabinet tahun lalu, berkata keahlian parti baharu itu dibuka kepada semua kaum Melayu, Orang Asli dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, manakala bukan Melayu dipelawa menyertainya sebagai ahli bersekutu.

No comments:

Post a Comment