Thursday, August 25, 2016

Aset Chong Wei cecah RM300 juta

Aset Chong Wei cecah RM300 juta
ATAS kesungguhannya yang tidak mengenal erti kekalahan, kejayaan dalam dunia badminton akhirnya terbalas apabila membawa pelbagai kejuaraan dan hadiah wang lumayan kepada pemain kesayangan negara ini.

Manakala di luar gelanggang, namanya kerap jadi sebutan. Beliau diminati oleh jutaan peminat di dalam dan di luar negara. Bagi syarikat-syarikat korporat, nama dan wajahnya juga bernilai untuk dikomersialkan bagi tujuan melariskan produk mereka.

Itulah anugerah dan hasil usaha yang diraih oleh Lee Chong Wei. Biarpun sebagai pemain badminton, Chong Wei terbukti juga tidak kurang hebatnya dalam dunia korporat. Tidak mustahil suatu hari nanti, setelah meninggalkan lapangan badminton, beliau akan bergelar pula sebagai seorang tokoh korporat yang berjaya di negara kita.
Mungkin tidak ramai yang tahu Chong Wei memiliki sebuah syarikat pemaju perumahan di Kuala Lumpur. Nama syarikatnya ialah Chong Wei Binajaya dengan beliau sendiri memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif.

Selain itu, beliau turut mempunyai sebuah kompleks sukan yang diberi nama Sports Arena Sentosa yang terletak di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Bagi peminat badminton di sekitar Lembah Klang, kompleks sukan ini memang sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Menurut sebuah portal, thecelebritiesnetworth.com, kekayaan Chong Wei kini telah mencecah AS$75 juta (RM300 juta) hasil daripada hadiah kemenangan, sektor perniagaan, duta kepada puluhan produk di peringkat antarabangsa dan tempatan, hartanah dan koleksi kereta mewah yang dimilikinya.

Manakala menurut portal Sport Rich List (senarai kekayaan atlet dunia), aset Chong Wei pada 2011 ialah sebanyak AS$267,300 (RM1.7 juta) dan meningkat kepada AS$59 juta (RM237 juta) pada 2013.

Bagi kenalan rapat Chong Wei, mereka sudah lama mengetahui beliau cukup gemar membeli kereta mewah sebagai koleksi peribadinya. Sehingga hari ini, antara jenis kereta mewah yang dimiliki Chong Wei ialah Skyline R35 GTR, BMW X6 Coupe,
Ferrari F430, Lamborghini Aviator, Audi R8 dan Bentley Continental GT1, dengan harga kesemua kereta ini bernilai jutaan ringgit setiap sebuah.

Selain itu, satu lagi barangan yang digemari Chong Wei ialah jam tangan. Difahamkan, terdapat pelbagai jenama jam tangan yang dibelinya dan disimpan dalam tiga kotak besar.

Akhbar Dongguan Shibao dari China sebelum ini pernah melaporkan, jenis kediaman yang diduduki oleh Chong Wei tidak jauh bezanya dengan kebanyakan orang, namun pastinya ramai akan terperanjat apabila melihat koleksi kereta yang disimpannya.   
Pelantikan Chong Wei sebagai duta produk merupakan satu lagi sumber pendapatan utamanya. Bagi setiap produk, bayarannya yang diterima dipercayai mencecah sehingga jutaan ringgit.

Antara syarikat-syarikat yang melantik Chong Wei sebagai dutanya termasuk Yonex, Samsung, KDU Educations Group, XOX, syarikat pengeluar kopi, kerusi urut, resort dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment