Thursday, August 25, 2016

Namewee bebas, polis gagal dapat lanjutan reman

25/8/16

 FMT| August 25, 2016
Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk tempoh reman empat hari yang tamat hari ini dilanjutkan, Namewee dibebaskan petang tadi.
VIDEO INSIDE
nawemee
GEORGE TOWN: Penyanyi rap kontroversi dan terkenal di YouTube, Namewee kini bebas selepas polis gagal mendapatkan perintah lanjutan reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, ditahan reman empat hari lalu bagi membantu siasatan kerana “mencemar tempat sembahyang dengan niat menghina agama”.

Terdahulu, dia dibawa ke kompleks mahkamah di George Town pada 8.30 pagi, dengan tangannya bergari di belakang dan diiringi 2 pegawai polis.
Selepas keputusan dibuat pada 12.10 tengah hari, peguam T Tharuma yang mewakili Namewee memberitahu wartawan, Penolong Pendaftar Mahkamah Ahmad Tajudin Zaini tidak menolak permohonan polis untuk melanjutkan reman.

Tharuma berkata Tajudin memerintahkan Namewee dibebaskan serta-merta. Tetapi penyanyi rap itu sebaliknya dibawa polis dengan menaiki sebuah kereta Proton Preve.
“Mereka masih menahannya dan membawanya ke balai polis Jalan Patani. Polis tidak mahu beritahu mengapa dia dibawa ke sana,” kata Tharuma.

Peguam itu berkata Namewee dijangka dibebaskan pada jam 5 petang tetapi bebas lebih awal, selepas tamat tempoh reman empat hari yang dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata Namewee dibawa ke balai polis berkenaan untuk dibebaskan dengan jaminan polis.
“Untuk makluman anda, kami sudah merujuk kes itu kepada pengarah pendakwaan dan kemudian ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk arahan seterusnya,” kata Mior dalam satu kenyataan.

Penyanyi berusia 33 tahun itu ditahan sebaik saja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dari Taiwan pada 21 Ogos, dan kemudian dibawa ke Pulau Pinang di mana dia ditahan polis.

Mior Faridalathrash berkata tahanan itu adalah sebahagian daripada siasatan terhadap klip video kontroversi Namewee berjudul “Oh My God”.
Klip video berdurasi 4.05 minit diarah dan diterbitkan oleh Namewee untuk sebuah kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One dirakam di beberapa tempat ibadat di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment