Aeria berkata, Bersatu tidak akan mampu berjuang dengan baik seperti Semangat 46.
PETALING JAYA: Parti baharu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak
akan dapat membantu Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan Barisan Nasional
untuk menawan Putrajaya, sebaliknya ia bakal memecah belahkan
pembangkang, kata penganalisis politik.
Prof Madya Andrew Aeria dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
berkata, pembentukan parti berasaskan Bumiputera itu menekankan
perkauman yang wujud dalam politik negara ini.
Beliau berkata, keahlian yang hanya terbuka kepada Bumiputera,
manakala keahlian bersekutu untuk bukan Bumiputera menunjukkan mereka
tidak berpandangan jauh “di luar perkauman” dan akan membawa perpecahan
lebih besar dalam pembangkang.
“Ia tidak sejajar dengan janji pembaharuan dalam kempen ‘Selamatkan
Malaysia’. Bagaimana anda hendak selamatkan Malaysia jika ia menjadi
lebih retak dengan parti politik lain?” katanya kepada FMT hari ini.
Bersatu sedang menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia (RoS), selepas permohonan dihantar Tan Sri Muhyiddin Yassin,
presiden jawatankuasa penajanya pada Selasa lalu.
Parti baharu naungan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
itu terbuka kepada semua kaum, bagaimanapun ahli bukan Bumiputera tidak
boleh mengundi atau bertanding untuk jawatan dalam parti.
Mengulas pucuk pimpinan Bersatu, Aeria tergelak dan menyifatkannya
“ringan” sambil menambah ia tidak akan mampu berjuang dengan baik
seperti Semangat 46.
Beliau berkata, Bersatu tidak boleh dibandingkan dengan Semangat 46,
bagaimanapun ia akan berkongsi nasib sama dengan Semangat 46 dengan
menjadi tidak relevan sebelum terkubur.
Katanya, pemimpin Bersatu sepatutnya menyertai sebuah daripada tiga parti PH untuk memperkukuhkan pembangkang.
Aeria turut ragu-ragu bagaimana Bersatu boleh membantu PH yang hilang hala tuju ketika ini.
“DAP tidak boleh melangkaui kepentingannya sendiri, sementara
pemimpin PKR benar-benar perlu berkompromi. Terlalu banyak perbalahan
dalaman,” katanya.
Aeria berkata, jika Bersatu hendak bekerjasama dengan PH, akan
berlaku perebutan dan pergaduhan berhubung pembahagian kerusi pada
pilihan raya nanti.
Katanya, jika rundingan peruntukan kerusi gagal mencapai kata
sepakat, pengundi atau penyokong PH mungkin tidak akan keluar mengundi.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakan sekutu dalam PH perlu menentukan hala tuju mereka sekarang.
“Pengundi tidak bodoh. Mereka boleh nampak kurangnya kejelasan serta arah tuju dan ini akan merugikan mereka,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata,
adalah pelik untuk sebuah parti berasaskan Bumiputera menjadi sebahagian
daripada PH.
Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong pula
berkata, sayap itu menolak kerjasama dengan parti politik yang
berlandaskan kaum seperti Bersatu, kerana ia tidak berbeza daripada
Umno.
Katanya, parti politik yang mengamalkan diskriminasi kaum tidak akan
menyelamatkan Malaysia, sebaliknya hanya akan terus bermaharajalela di
negara ini.
No comments:
Post a Comment