Ia bertujuan menghalang anggota IS menyamar sebagai
pelancong Asean dan melancarkan serangan menjelang sidang kemuncak G20
di Hangzhou.
PETALING JAYA: China tiba-tiba menghentikan pengeluaran “visa mudah
144 jam” kepada pelancong Malaysia, Indonesia dan Thailand, bagi
menghalang anggota IS menyamar sebagai pelancong Asean dan melancarkan
serangan menjelang sidang kemuncak G20 di Hangzhou.
Oriental Daily memetik sumber yang memberitahu portal berita Hong
Kong, Apple Daily sebagai berkata, pembekuan itu dijangka berlarutan
sekurang-kurangnya sebulan.
Menurut laporan itu, pemandu pelancong Hong Kong mendakwa rombongan
pelancong Thailand yang memiliki “visa mudah 144 jam” dilarang memasuki
wilayah Guangdong baru-baru ini dan mereka hanya dimaklumkan mengenai
perubahan dasar itu setibanya di Pelabuhan Luohu yang terletak di
Shenzhen, sempadan China dan Hong Kong.
Susulan itu, pelancong mengecam dan mendakwa agensi pelancongan Hong Kong menipu.
Mereka berkata, agensi pelancongan Hong Kong juga terpaksa menanggung
kerugian kerana jadual perjalanan perlu diubah dan membayar kos
penginapan untuk pelancong di berkunjung di Hong Kong dan Macau.
Pengusaha pelancongan Hong Kong pula mengadu, banyak rombongan
berdepan masalah sama sejak kebelakangan ini dan dijangkakan 100,000
pelancong asing akan terjejas dengan perubahan dasar itu.
Baru-baru ini, Beijing berhenti mengeluarkan “visa mudah 144 jam”
kepada pelancong dari negara yang menjurus kepada Islam, kerana
mesyuarat ke-11 sidang kemuncak G20 dijadulkan berlangsung di Hangzhou
pada 4 dan 5 September ini.
Beijing memperkenalkan “visa mudah 144 jam” sejak 2000 bagi
memudahkan pelancong asing yang tiba di Hong Kong berkunjung ke wilayah
Guangdong di China sehingga 6 hari.
Agensi pelancongan Hong Kong hanya perlu mengemukakan nama, tarikh
lahir dan nombor pasport pelancong sebelum menyerahkan ia kepada agensi
pelancongan China untuk membuat permohonan visa secara berkumpulan yang
akan diluluskan dalam tempoh beberapa jam, dengan syarat pelancong tidak
boleh meninggalkan rombongan masing-masing.
No comments:
Post a Comment