Kejutan itu dijangka dibuat dalam Mesyuarat Exco FAM pada 15 Ogos ini.
PETALING JAYA: Barisan exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
dijangka mahu meninggalkan badan induk itu bagi mengikut jejak langkah
presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Harian Metro melaporkan seorang sumber dalaman FAM dipetik sebagai
berkata, kejutan itu akan dibuat dalam Mesyuarat Exco FAM pada 15 Ogos
ini, seandainya hasrat Tengku Abdullah diterima.
“Mereka (exco FAM) rela pemilihan baru diadakan semula. Kemungkinan
Kongres Pemilihan yang sepatutnya diadakan pada 2018 akan dipercepatkan
menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), jika bukan Disember ini,
mungkin awal tahun depan.
“Tindakan ini dilihat sebagai tanggungjawab bersama barisan kepimpinan dan bukannya atas desakan mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan Tengku Abdullah bakal
meninggalkan badan induk itu tidak lama lagi dan lebih mengejutkan
jawatan ditinggalkan itu akan digantikan dengan pemilik kelab Johor
Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan
Ibrahim.
Bagaimanapun, perkara itu belum diputuskan lagi dan masih dalam
perbincangan dan ia turut diakui Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin.
“Itu kena tunggu dulu selepas mesyuarat exco (FAM),” katanya ringkas
ketika ditanya sama ada Tunku Ismail bakal menerajui FAM menggantikan
Tengku Abdullah.
Penglibatan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu
dilihat ‘semakin jelas’ apabila Bendahari FAM Datuk Seri Mohamad Norza
Zakaria bertemu dengannya dan membentangkan laporan kewangan persatuan
tersebut.
Sementara itu, cubaan FMT untuk mendapatkan reaksi Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin belum berjaya.
Hamidin ketika ditanya mengenai isu itu hanya berkata:”Berkenaan isu
itu saya enggan ulas lagi. Saya akan memberi komen minggu depan
berhubung isu itu. Jumpa saya minggu depan,” katanya
No comments:
Post a Comment