Wednesday, August 24, 2016

'Kementerian Luar enggan kerjasama kes saman Altantuya'

Malaysiakini 24/8/16

Saman sivil oleh keluarga Altantuya Shaariibuu yang difailkan terhadap pembunuhnya hampir sedekad lalu menemui jalan buntu setelah Kementerian Luar seolah-olah enggan memberi kerjasama.

Menurut peguam yang mewakili keluarga itu, kementerian tidak memberi maklum balas ke atas permintaan mereka untuk menyampaikan dokumen mahkamah kepada Koperal Sirul Azhar Umar, yang kini ditahan di Pusat Tahanan Villawood di Sydney, Australia.

Peguam Ram Karpal Singh yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor berkata, mahkamah menghendaki saman yang dipinda itu disampaikan kepada Sirul sebagai salah seorang daripada responden dan perlu dilakukan menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia dan Kementerian Luar.
"Bagaimanapun, selepas mengemukakan dokumen hampir setahun tidak ada sebarang maklum balas daripada kementerian," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ram mempersoalkan sama ada kementerian berkenaan mempunyai agenda tersembunyi setelah enggan memberi maklum balas atau menyampaikan dokumen tersebut kepada Sirul.

Ujar beliau, firma guamannya perlu mencari kaedah dan cara untuk menyampaikan dokumen berkenaan dengan sendiri, tanpa perlu melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
"Mahkamah telah suarakan kebimbangan kerana ini kes lama yang bermula kembali pada tahun lepas susulan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan," tambahnya.

Jelas Ram lagi, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 27 September ini untuk pengurusan kes dan beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai proses penyampaian dokumen itu kepada Sirul.

Ada kemungkinan tarikh perbicaraan akan ditetapkan kerana perkara tersebut telah ditetapkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.
Pada mulanya, kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Datuk Suraya Othman.

1 comment:

  1. Kalau Kementerian Luar bantu, habislah MO1 ke tali gantung belum sempat selesai bicara 1MDB.

    ReplyDelete