Tuesday, August 23, 2016

Kerajaan tewas rayuan tuntut ganti rugi bagi himpunan Bersih 3.0

 | August 23, 2016
Mahkamah Rayuan mendapati kerajaan gagal membuktikan kes terhadap bekas pengerusi Bersih Datuk A Ambiga dan 14 ahli jawatankuasa pemandu.
ambiga_law_600
PUTRAJAYA: Kerajaan tewas dalam rayuan mereka hari ini di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan terhadap bekas pengerusi Bersih Datuk S Ambiga dan 14 jawatankuasa pemandu bagi perhimpunan Bersih 3.0, 4 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Rohana Yusuf memutuskan Mahkamah Tinggi mengambil tindakan yang tepat menolak tuntutan saman kerajaan dan mahkamah rayuan tidak ada sebab untuk mengganggu keputusan hakim perbicaraan.

“Tidak ada peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman yang membenarkan kerajaan untuk menyaman berkenaan kerosakan dalam perhimpunan.
“Akta Prosiding Kerajaan (di bawah Seksyen 3 dan 39) juga menyatakan kerajaan tidak boleh menyaman kerana kerosakan di bawah undang-undang am,” katanya.
Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.
Bagaimanapun, panel hakim membenarkan kerajaan merayu bagi bahagian tuntutan balas oleh bekas ahli jawatankuasa pemandu Prof Wong Chin Huat.
“Rayuan bagi tangkapan dan tahanan tidak sah dibenarkan tetapi jumlah ganti rugi keseluruhan yang diberikan kerana kesakitan dan kesengsaraan dikekalkan RM15,000,” katanya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan kerajaan terhadap jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, bagi menuntut kerosakan harta awam sepanjang perhimpunan Bersih 3 diadakan pada 28 April 2012.
Mahkamah memutuskan kerajaan gagal membuktikan tuntutan mereka terhadap jawatankuasa Bersih.

Kerajaan menyaman jawatankuasa pemandu Bersih pada 2012 dengan mendakwa perhimpunan itu menyebabkan kerosakan harta awam.
Kerajaan mohon RM110,543 bagi kerosakan khas sebagai kos membaiki kereta polis dan kos lain.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Pengerusi Bersih 2.0 sekarang Marina Chin Abdullah berkata dengan keputusan itu kebebasan untuk rakyat berhimpun dikekalkan.
“Ia akan memberi banyak implikasi terhadap perhimpunan pada masa depan.
“Ini sangat bermakna kepada kami. Kerajaan tidak boleh saman kami kerana berhimpun dan kerosakan harta awam semasa demonstrasi,” katanya.

Marina berkata keputusan itu menjadi satu galakan kepada perhimpunan #TangkapMO1 pada hujung minggu ini di Dataran Merdeka.

No comments:

Post a Comment